Pelakon Adam Lee tetap berbangga dengan pencapaiannya meskipun tewas kepada aktor Alif Muhaimin dalam perlawanan Fury Redemption yang berlangsung pada Ahad.
Adam mengakui kekurangan stamina menjadi punca utama kekalahannya, lebih-lebih lagi apabila berdepan lawan yang memiliki tahap ketahanan fizikal lebih tinggi.

Menurut Adam, walaupun sudah bertahun-tahun aktif dalam seni mempertahankan diri secara amatur, Fury Redemption menjadi pengalaman pertamanya bertarung di pentas profesional.
“Selepas tujuh tahun bertanding secara amatur, ini kali pertama saya naik gelanggang sebagai profesional. Dari awal saya sudah tanam dalam fikiran, menang atau kalah bukan perkara utama,” katanya.
Adam turut memaklumkan dia berpuas hati dengan prestasinya, terutama pada pusingan pertama, dan yakin sudah memberikan aksi terbaik sebelum keletihan mula dirasai.
“Saya akui tewas dari segi stamina dan itu memang kelemahan saya. Stamina Alif memang luar biasa. Masuk pusingan kedua, kepala saya mula rasa berpusing. Itu petanda badan sudah mula letih,” jelasnya.

Dalam perlawanan tersebut, Adam turut mengalami kecederaan di bahagian kening selepas terkena siku Alif sehingga perlawanan terpaksa dihentikan.
“Kalau saya teruskan pun, saya tahu tetap akan kalah kerana stamina. Alif TKO saya dan memang kemas,” katanya jujur.
Suami kepada pelakon Sweet Qismina itu turut berkongsi dia menerima tujuh jahitan di kening akibat kecederaan berkenaan, namun menganggap pengalaman itu sebagai satu pencapaian peribadi.
“Saya dapat tujuh jahitan di kening, tapi semuanya sudah selesai. Apa pun, saya bangga dengan diri sendiri sebab berani sahut cabaran dan masuk gelanggang Fury Redemption,” katanya.
Adam turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang memberi sokongan serta mendoakan kesejahteraannya selepas perlawanan.






