Penyanyi, Ina Naim mengakui tidak pernah berdiam diri dalam mendidik anak-anak, termasuk anak sulungnya Ehmad Hadie Elfardie, meskipun sering menerima mesej dan komen daripada netizen yang menggesa supaya dia menegur perlakuan remaja itu.
Menerusi sebuah video tular di TikTok, Ina atau nama lengkapnya Nor Diana Mohd Naim berkata walaupun allahyarham suaminya (Suhaimi Saad) sudah tiada, tanggungjawab mendidik anak kini sepenuhnya di bahunya.
“Setiap hari ada saja yang DM saya, kata ‘anak tak boleh jadi begitu, tak boleh suap-menyuap’. Saya sedih bila baca… tapi saya tegur, saya bukan ibu yang lepas tangan.
“Daddy dia takkan cakap sebab dia sangat hormat pada anak-anak arwah, Ibu dia yang kena tanggung semua. Kalau arwah ayah dia masih ada, dia dah kena baling kerusi, rotan, sepak dan terajang!” ujarnya.
Jelas Ina, teguran dan bebelannya bukan bertujuan untuk mengongkong, sebaliknya demi membentuk keperibadian anak yang semakin dewasa.
“Remaja mana yang suka kena bebel? Tapi kalau bukan ibu yang tegur, siapa lagi? Dia dah besar, dah boleh fikir. Saya bercakap dan membebel untuk Hadie, bukan untuk orang lain,” katanya.

Tambah Ina, dia juga tidak putus menasihati Hadie agar menjaga batas terutama ketika bersama rakan-rakan, selain terus berdoa agar anak-anaknya dilindungi daripada godaan maksiat.
“Setan ada di mana-mana, sekelip mata boleh rosakkan orang. Ustaz pun boleh berubah, apatah lagi anak muda. Itu sebab saya pesan Hadie supaya berhati-hati bila keluar. Saya doa Allah lindung mereka,” katanya.
Bagi mengelakkan fitnah dan spekulasi, Ina mengambil pendekatan dengan memenuhi jadual Hadie dengan aktiviti seni bermanfaat.
“Apa yang saya buat, saya sibukkan dia dengan kerja. Bila sibuk, tak sempat nak keluar sangat. Tapi saya tahu niat mereka nak naikkan nama, demi bisnes dan karier. Saya tak marah, cuma saya nasihat,” katanya lagi.
Ina juga menegaskan supaya orang ramai tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman terhadap anaknya kerana setiap insan sedang belajar memperbaiki diri.
“Jangan menghukum, tapi mana yang salah tetap salah. Saya dah pun menasihati,” ujarnya.
@yuzu.ch3rry DENGAR & HADAM ☝🏻 p/s: netizen pls jangan lebih lebih. yang sampai dm kak ina bgtau kenapa nasihatkan anak dlm live..kenapa anak mcm tu kenapa macam ni… Kalau nak nasihat korang dm hadie terus. kak ina sebagai ibu dia dah tegur & nasihat. tak perlulah asyik nak dm mengadu itu ini🫰🏻. hmm sedih tau tgk live tadi😔 untuk kak @INA SUHAIMI semoga terus kuat ya 🤍 untuk hadie, ‘moga tak diuji asyik cinta duniawi..’ #fyp #inanaim





