Kalau cepat koyak, cari sukan lain

Kalau cepat koyak, cari sukan lain

Kalau cepat koyak, cari sukan lain


PENGENDALI Como, Cesc Fabregas tidak berselindung apabila meluahkan kekecewaan terhadap Alvaro Morata selepas penyerang itu dilayangkan kad merah dalam kekalahan 1-2 kepada Fiorentina pada aksi Serie A di laman sendiri, Sabtu lalu.

Como terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Nicolo Fagioli sebelum Moise Keane menggandakan kelebihan pelawat melalui sepakan penalti.

Gol sendiri Fabiano Parisi memberi sedikit harapan kepada tuan rumah, namun kebangkitan itu terhenti.

Situasi menjadi lebih sukar buat Como apabila Morata yang menyertai kelab itu secara pinjaman semusim daripada AC Milan dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh seminit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian separuh masa kedua.

Kad pertama hadir susulan pergelutan luar bola bersama Luca Ranieri, sebelum pertikaian berterusan membawa kepada kad kuning kedua dan arahan keluar padang oleh pengadil Matteo Marchetti.

Fabregas, yang juga bekas rakan sepasukan Morata di Chelsea ternyata berang dengan sikap pemain berusia 33 tahun itu.

“Provokasi adalah sebahagian daripada bola sepak. Jika tidak mampu menghadapinya, cari sukan lain.

“Saya mengharapkan lebih daripada pemain berpengalaman. Kami tidak boleh membiarkan tindakan lawan atau emosi sendiri merosakkan pasukan,” katanya kepada DAZN.

Morata masih buntu di liga, belum mencatat sebarang gol selepas 15 penampilan bersama Como musim ini.

Kekalahan itu juga menyaksikan Como melalui dua perlawanan liga berturut-turut tanpa kemenangan.

Mengulas keseluruhan aksi, Fabregas mengakui kegagalan pasukannya menterjemahkan persiapan kepada prestasi.

“Saya kecewa kerana tidak berjaya membuat pemain benar-benar faham kepentingan perlawanan ini.

“Kami pasukan muda dan perlu bermain dengan motivasi serta tenaga yang tepat.

“Separuh masa kedua tidak mencerminkan perlawanan bola sepak. Dari segi sikap, kami tersilap dan perlu menunjukkan keinginan yang lebih tinggi.

“Sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab atas perkara itu,” katanya.

Como kini menghuni tangga ketujuh Serie A ketinggalan mengumpul 41 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.

Inter Milan menguasai carta liga dengan 61 mata, diikuti AC Milan (53 mata) dan Napoli (49).

Ringkasan AI

  • Pengendali Como, Cesc Fabregas, meluahkan kekecewaan terhadap Alvaro Morata yang dilayangkan kad merah dalam kekalahan 1-2 kepada Fiorentina
  • Morata menerima dua kad kuning dalam masa seminit sebagai pemain gantian dan ini menyukarkan Como
  • Fabregas menegaskan Morata, pemain berpengalaman, sepatutnya lebih dapat mengawal emosi dalam permainan
  • Morata belum mencetak gol untuk Como setelah 15 penampilan di liga musim ini
  • Como kini di tangga ketujuh Serie A, mengumpul 41 mata selepas 24 permainan



Source link

OR

Scroll to Top