PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan pramusim membabitkan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, menentang ASEAN All Star di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 28 Mei depan.
The Red Devils akan menentang ASEAN All Star di SNBJ pada 28 Mei ini sebelum ke Hong Kong bagi melengkapkan Jelajah Asia dua hari kemudian.
Buat pertama kali selepas 16 tahun, juara Piala FA Inggeris itu akan bertandang semula ke Malaysia bagi menemui peminat rantau Asia Tenggara dan menyaksikan pemain terkemuka dunia beraksi berdepan pasukan pilihan.
Sebelum ini, difahamkan satu pasukan yang merangkumi pemain terbaik seluruh Asia Tenggara (ASEAN) bakal bergabung membentuk skuad terhebat menentang skuad kendalian Ruben Amorim itu.
Barisan Bintang ASEAN masih belum dikenal pasti siapakah yang akan mewakili pasukan itu.
Menerusi hantaran laman Instagram rasmi Man United, kelihatan komen Ketua Kerajaan Malaysia juga menyatakan sokongan terhadap kedua-dua pasukan sambil berseloroh dengan gurauan yang mencuit hati.
“Saya sokong ASEAN, tapi saya juga penyokong Man United.
“Kalau gol, nak sorak yang mana?” katanya. – Awani