‘Kalau macam Arif Aiman berbaloilah bayar mahal’

‘Kalau macam Arif Aiman berbaloilah bayar mahal’


Arif Aiman merangkul Anugerah MVP, Pemain Tengah Terbaik dan Gol Terbaik Liga Super 2024-2025 pada ABK 2024-2025 di Astro Bukit Jalil pada Rabu. Foto: Bernama

SETIAP pasukan perlu bijak dalam membuat pemilihan pemain import atau tempatan serta menawarkan gaji yang setimpal dengan kualiti dimiliki bagi mengelakkan kelab berdepan masalah kewangan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, setiap kelab perlu mempunyai kepakaran dalam menilai kemampuan sebenar pemain sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat mereka.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kelab tidak terbeban dengan pembayaran gaji tinggi kepada pemain yang gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan di atas padang.

“Setiap kelab perlu ada kepakaran untuk memilih atau menilai setiap pemain yang mahu dibeli. Ini tidak, ada pemain datang minta gaji RM20,000 sedangkan nilai sebenar dia RM10,000 pun belum tentu padan.

“Tapi sebab nakkan sangat pemain itu, mereka tetap beli. Akhirnya, apa yang kelab dapat? Pemain yang tidak berkualiti.

“Kalau macam Arif Aiman Hanapi (pemain Johor Darul Ta’zim) itu berbaloilah nak bayar mahal. Tapi kalau main pun biasa-biasa saja buat apa bayar mahal akhirnya kelab juga yang susah.

“Kadang-kadang ada juga sebab CEO atau pengurusan pasukan nak sangat pemain itu dan sanggup bayar gaji mahal.

Arif Aiman (kanan) mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Liga Juara-Juara Asia elit (ACLE) musim ini. Foto: Johor Southern Tigers

Arif Aiman (kanan) mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Liga Juara-Juara Asia elit (ACLE) musim ini. Foto: Johor Southern Tigers

“Sepatutnya pemilihan pemain perlu diserahkan kepada pakar dan pencari bakat yang akan menentukan gaji sesuai untuk pemain itu,” katanya kepada Sukan Sinar.

Isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia bukanlah perkara baharu dan ia berlaku setiap tahun sekali gus memberikan impak buruk kepada industri bola sepak negara.

Tindakan kelab yang membayar gaji pemain dengan harga yang terlalu tinggi tidak setimpal dengan kualiti dipamerkan menjadi antara punca mereka berdepan dengan masalah kewangan serius.

Dalam pada itu, Jamal Nasir turut berpandangan setiap kelab perlu mempunyai tangga gaji tersendiri kepada para pemain sekali gus menjadi kayu ukur nilai sebenar yang mampu dibayar.

“Kelab perlu meletakkan harga contohnya jika dia pemain kebangsaan, berapa nilai sepatutnya yang boleh dibayar. Kalau pemain biasa berapa nilai.

“Jika tidak mampu bayar dengan gaji yang diminta oleh pemain itu, jangan ambil,” katanya.



Source link

OR