PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim tampil tegas berdepan kritikan selepas pasukannya diaibkan jiran setempat, Manchester City 3-0 dalam aksi derby Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad.
Kekalahan itu merupakan yang ketiga dalam lima perlawanan terakhir semua kejohanan sekali gus menyaksikan United terus merudum di tangga ke-14 liga.
Sejak mengambil alih jawatan pada November lalu, Amorim hanya meraih lapan kemenangan liga menyebabkan beliau ditanya sama ada sudah tiba masanya untuk mengubah taktikalnya yang dianggap terlalu mudah dibaca pihak lawan.
“Saya faham dan saya terima. Rekod ini memang tidak sepatutnya ada pada Manchester United. Banyak perkara berlaku di sebalik tabir yang orang luar tidak tahu, tetapi saya tetap terima.
“Tetapi saya tidak akan ubah. Bila saya mahu ubah falsafah, saya sendiri akan ubah. Jika tidak, maka anda perlu tukar orangnya. Perkara ini akan terus diperkatakan setiap kali kami tewas. Jadi saya akan tetap dengan cara saya,” katanya.
Dalam perlawanan itu, City tampil garang menerusi ketajaman Erling Haaland yang meledak dua gol, disusuli jaringan Phil Foden yang tampil buat kali pertama dalam kesebelasan utama musim ini.
United sebenarnya turut beroleh peluang apabila Bryan Mbeumo hampir menjaringkan gol, namun percubaannya dinafikan aksi cemerlang penjaga gol baharu City, Gianluigi Donnarumma pada separuh masa kedua.
Bagaimanapun, kegagalan menyempurnakan peluang serta kelemahan di benteng pertahanan jelas menghukum Red Devils.
Ringkasan AI
- AYATFB:
- Ruben Amorim tetap berpegang dengan taktikalnya walaupun dikritik.