TEKANAN terus membelenggu kem Manchester United, namun pengendali Ruben Amorim tetap berpegang teguh dengan formasi kontroversinya menjelang aksi getir menentang Chelsea di Old Trafford, Ahad ini.
United hanya mencatat satu kemenangan dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini selain dikejutkan dengan penyingkiran awal Piala Liga kepada kelab Liga Dua, Grimsby Town.
Kekalahan dalam derbi Manchester minggu lalu kepada Manchester City turut menambah luka, sekali gus mencetuskan desas-desus mengenai masa depan pengendali kelahiran Portugal itu.
Lebih menarik, Amorim berkeras menolak cadangan supaya mengubah taktikal 3-4-2-1 yang dikritik hebat.
“Tidak, tidak, tidak. Tiada siapa. Biar Pope sekalipun, dia tidak akan dapat mengubah saya.
“Ini kerja saya, tanggungjawab saya, hidup saya. Saya tidak akan ubah itu,” tegas bekas pengendali Sporting Lisbon berkenaan.
Beliau menegaskan, tunduk kepada tekanan luar hanya akan melemahkan kewibawaan seorang jurulatih di mata pemain.
“Kalau saya ubah sistem hanya kerana semua orang mendesak, pemain akan melihat saya dengan cara berbeza. Itu akan menggugat keyakinan mereka terhadap saya,” katanya.
Menurut Amorim, sistem tersebut akan melalui proses evolusi secara berperingkat tetapi bukan kerana tekanan semasa.
“Saya buat ikut cara saya. Saya harap diberi masa untuk melihat perubahan, tetapi ia satu evolusi,” ujarnya.
Mengulas peluang menentang Chelsea, Brentford dan Sunderland sebelum rehat antarabangsa bulan depan, Amorim mengakui kemenangan segera amat diperlukan untuk mengubah persepsi.
“Saya faham keperluan mendesak untuk menang. Itu realiti di Manchester United,” katanya.
Ringkasan AI
- TEKANAN terus membelenggu kem Manchester United dan pengendali Ruben Amorim tetap berpegang teguh dengan formasi kontroversi 3-4-2-1
- United hanya mencatat satu kemenangan dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini dan dikejutkan dengan penyingkiran awal Piala Liga kepada Grimsby Town
- Kekalahan dalam derbi Manchester kepada Manchester City mencetuskan desas-desus mengenai masa depan pengendali kelahiran Portugal itu
- Amorim menegaskan tunduk kepada tekanan luar hanya akan melemahkan kewibawaan seorang jurulatih
- Sistem 3-4-2-1 akan melalui proses evolusi secara berperingkat dan Amorim memerlukan masa untuk melihat perubahan