SELEPAS sedekad penubuhan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan dalam usaha memperkasa landskap bola sepak negara, terutamanya dari segi pengurusan, penjadualan, serta pelaksanaan peraturan baharu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, usaha memperkemas struktur liga kini menunjukkan hasil positif selepas 10 tahun, termasuk kewujudan kalendar bola sepak yang lebih mesra dan kompetitif, sejajar dengan panduan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta disesuaikan dengan kehendak domestik.
“Alhamdulillah, selepas 10 tahun, kita mula nampak satu kalendar bola sepak yang lebih ‘friendly’ dan kompetitif.
“Kita juga telah mula memperkukuh sistem pelesenan kelab,” katanya.
Namun, beliau tidak menafikan bahawa proses transformasi ini turut membawa kesan kepada beberapa pasukan tradisi yang gagal memenuhi kriteria pelesenan, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat bersaing di peringkat tertinggi.
“Mungkin peminat-peminat bola sepak tak boleh menerima sebagai contoh, kita kehilangan pasukan sri Pahang, Kedah, Perak dan sebelum ini kita pernah hilang Perlis, Kelantan, Sarawak.
“Namun begitulah perkara-perkara yang telah kita laksanakan sehinggalah 10 tahun kewujudan FMLLP dan sekarang MFL adalah untuk memastikan perjalanan liga itu berjalan dengan baik,” ujarnya.
Tambah beliau, sokongan daripada pihak ketiga seperti penaja, penyiar rasmi serta pihak industri amat penting dalam menjayakan perjalanan Liga Malaysia.
“Kita perlukan penaja, kita perlukan penyiar rasmi seperti Astro. Kita perlukan aura positif dalam menguruskan dan mengendalikan Liga Malaysia agar ia lebih menarik, berdaya saing dan terus mendapat tempat di hati peminat,” katanya.