Kamera perangkap rakam imej harimau berbeza di Bukit Bangkong

Kamera perangkap rakam imej harimau berbeza di Bukit Bangkong


IPOH: Kamera perangkap  yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di kawasan riadah Bukit Bangkong, Chemor berjaya merakam beberapa imej harimau belang berbeza.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, dua rakaman itu diperoleh pada 13 Mac dan 20 April lalu masing-masing pada pukul 7.55 malam dan 6.21 pagi.

Katanya, hasil penelitian mendapati harimau belang yang dirakam itu dianggarkan berusia sekitar tiga tahun dengan saiz tapak kaki kira-kira 12 sentimeter.

“Harimau yang dirakam menerusi kamera perangkap di Bukit Bangkong berbeza daripada harimau yang dikesan sebelum ini.

“Pihak Perhilitan mengenal pasti identiti harimau belang itu melalui penelitian terhadap corak belang pada bahagian kiri dan kanan badannya kerana setiap individu mempunyai corak belang yang berbeza,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, rakaman imej harimau itu diperoleh daripada kamera perangkap yang dipasang di dua lokasi berbeza di Bukit Bangkong iaitu di laluan alternatif ke puncak bukit dan di kawasan puncak.

Katanya, berdasarkan hasil pemantauan, kawasan Bukit Bangkong dipercayai merupakan kawasan rayau harimau belang berkenaan dan bukannya sekadar melalui kawasan tersebut.

“Selain menemukan kesan tapak kaki harimau belang dan bangkai lembu dipercayai dibahan haiwan tersebut, kita turut menjumpai kesan tapak kijang dan babi hutan serta kesan cakaran beruang pada pokok.

“Oleh itu, Perhilitan mengekalkan enam unit kamera perangkap di tiga lokasi berasingan yang dikenal pasti sebagai laluan aktif hidupan liar, khususnya harimau belang,” katanya.

Sementara itu ditanya sama ada kawasan riadah Bukit Bangkong akan dibuka semula dalam masa terdekat, beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam satu mesyuarat yang diadakan di Balai Polis Tanah Hitam pada 10 Jun lalu.

Katanya, dalam mesyuarat membabitkan Pengarah Perhilitan Perak dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanah Hitam serta Ketua Balai Polis Tanah Hitam, pihak Jabatan tiada halangan Bukit Bangkong dibuka semula bagi sebarang aktiviti pendakian sekiranya hanya laluan utama ke puncak Bukit Bangkong sahaja dibuka dan laluan alternatif ke Bukit Bangkong ditutup sepenuhnya.

“Selain itu, pihak jabatan menasihati aktiviti pendakian dijalankan seawal pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 5 petang.

“Bagaimanapun terdapat bantahan dari JPKK Kampung Tanah Hitam untuk membuka semula aktiviti pendakian Bukit Bangkong kepada orang awam,” katanya.

Pada 9 Disember lalu, kawasan rekreasi pendakian popular Bukit Bangkong ditutup sementara susulan dakwaan seekor harimau membaham dua ekor lembu di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Perak ketika itu, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kawasan berkenaan berserta persekitarannya ditutup bagi semua aktiviti riadah sehingga haiwan berkenaan berjaya dikesan atau keadaan disahkan selamat oleh pihak berkuasa. – UTUSAN

 



Source link

OR

Scroll to Top