'Kami ada peluang, tapi tak ambil'

'Kami ada peluang, tapi tak ambil'



aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perjalanan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei di suku akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir tidak seperti yang diharapkan.

Air mata menjawab kekecewaan di atas kegagalan mereka menewaskan beregu dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.

Pada aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris awal pagi tadi, pasangan nombor sembilan dunia itu akur dengan kekalahan straight set 19-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.

Malah ketika diajukan soalan kepada Tan Jie selepas tamatnya perlawanan, pemain berusia 26 tahun itu tidak mampu untuk berkata-kata.

Namun apa yang dilakarkan oleh beregu campuran negara itu harus diberi pujian kerana mereka berusaha keras untuk mengekang lawan biarpun Ee Wei mengalami kecederaan apabila terjatuh di set pertama.

Tan Jie berkata, dia bersama Ee Wei sudah melakukan persiapan yang terbaik untuk menghadapi perlawanan itu tetapi tampaknya masih belum mencukupi dan ada beberapa perkara perlu ditangani.

“Sedih. Patut boleh buat lagi baik. Kami ada peluang tapi tak ambil, sayang semua dah terjadi.

“Mungkin saya perlu ubah sikit persediaan mental. Masih ada beberapa perkara belum matang seperti menangani situasi.

“Bercakap mengenai tekanan, saya fikir semua orang menghadapinya. Saya rasa kami dapat tangani tekanan itu tapi nasib tak menyebelahi kami untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, kekurangan beberapa aspek menjadi penyebab kegagalan mereka mara ke suku akhir Paris 2024.

Katanya, mereka perlu memperbaiki kelemahan ini untuk membuat persiapan lebih mantap selepas ini.

“Kedua-dua mereka masih ada peluang. Olimpik empat tahun sekali. Perlu siap segalanya dari sekarang, bukannya perlu teknik yang bagus saja.

“Yang penting adalah mental,” katanya.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei mencipta sensasi apabila berjaya melakar kejutan dengan menewaskan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 17-21, 21-15, 21-16 dalam saingan peringkat kumpulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top