PEP Guardiola mengakui Manchester City berdepan cabaran besar di Emirates apabila hanya sempat berehat dua hari sebelum bertemu naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Arsenal.
The Citizens hadir dengan momentum kemenangan ke atas Manchester United dalam liga serta kejayaan menewaskan Napoli di pentas Liga Juara-Juara.
Namun, jadual padat membuatkan pengendali Sepanyol itu berseloroh bahawa skuadnya tidak sempat berlatih, sebaliknya hanya mampu “mendaki gunung” untuk mengembalikan tenaga.
“Kami akan mendaki gunung. Dua hari ini cuma untuk rehat, pulihkan tenaga, dan bersedia lawan Ahad,” kata Guardiola.
Sebelum ini, bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich tersebut kerap menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap jadual EPL.
Namun, kali ini Guardiola enggan memanjangkan isu dengan pihak penganjur, sebaliknya menegaskan fokus utamanya adalah persediaan pasukan.
Meskipun kelihatan tempang dari segi rehat, rekod menunjukkan City sebenarnya lebih garang apabila beraksi selepas hanya dua hari berehat.
Sejak Oktober 2020, mereka tidak pernah kalah dalam 15 perlawanan liga dengan jadual sebegitu, apabila menang 11 dan seri empat.
Biarpun begitu, menurut pakar fisioterapi Ben Warburton, jadual rapat meningkatkan risiko kecederaan otot kerana pemain tidak sempat menjalani program pemulihan penuh secara lazimnya.
“Dalam kajian, tubuh perlukan 48 hingga 72 jam untuk pulih selepas aksi intensiti tinggi setiap perlawanan,” katanya.
Sementara itu, kunjungan ke London kali ini turut mengingatkan City kepada kekalahan 1-5 di tempat sama pada Februari lalu, namun Guardiola percaya Arsenal kini lebih kuat hasil pelaburan besar sejak empat musim lalu.
“Arsenal adalah pasukan paling mantap diurus Mikel (Arteta), pengendali yang hebat. Mereka tidak melakukan kesilapan di benteng pertahanan, memiliki kepantasan di bahagian serangan dan sudah tentu berkualiti dalam situasi bola mati. Dalam setiap aspek, sungguh sebuah pasukan yang hebat.
“Kami mahu tampil lebih baik daripada musim lalu, khususnya dalam 20–25 minit terakhir,” tegas Guardiola.
Ringkasan AI
- PEP Guardiola mengakui Manchester City berdepan cabaran besar di Emirates kerana hanya berehat dua hari sebelum bertemu Arsenal
- Manchester City membawa momentum kemenangan ke atas Manchester United dan kejayaan atas Napoli di Liga Juara-Juara
- Guardiola menyatakan skuadnya tidak sempat berlatih, hanya mampu “mendaki gunung” untuk pulih
- Sejak Oktober 2020, City tidak pernah kalah dalam 15 perlawanan liga selepas hanya dua hari berehat, dengan 11 kemenangan dan empat seri
- Guardiola percaya Arsenal kini lebih kuat dan memuji pengurusan Mikel Arteta, menyebut mereka tidak melakukan kesilapan di bahagian pertahanan dan berkualiti dalam situasi bola mati





