Reaksi Sarjit (kiri) ketika Malaysia menentang New Zealand di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil pada Isnin. Foto Bernama
“KAMI beri mereka menang mudah.”
Demikian reaksi kecewa jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh apabila menyaksikan anak buahnya kalah 3-4 di tangan New Zealand biarpun sudah mendahului 3-0 pada aksi kedua Kumpulan B Piala Negara-Negara di Bukit Jalil pada Isnin.
Beliau menyifatkan kekalahan itu amat memeritkan kerana akibat kesilapan pemainnya menyebabkan mereka dilayangkan kad sekali gus menyaksikan Speedy Tigers tempang kekurangan pemain di atas padang.
Malaysia mendominasi permainan selepas mendahului tiga jaringan menerusi Akhimullah Anuar Esook minit ke-18, Fitri Saari (m-38) dan Azrai Aizad Abu Kamal (m-39).
Bagaimanapun kecuaian membuat keputusan ketika beraksi dan layangan dua kad kuning menyaksikan pasukan kebangsaan dibocori empat gol dalam hanya lapan minit.
Fitri dilayangkan kad kuning dan diarahkan keluar padang pada minit ke-44 dan kelompongan itu dimanfaatkan Finn Ward apabila meledak gol pertama Black Sticks.
Simon Yorston menambah jaringan seminit kemudian dan disusuli gol Sean Findlay pada minit ke-46.
Situasi bertambah buruk apabila Muhajir Abdu Rauf turut menerima kad kuning pada minit ke-52 dan Ward mengesahkan kemenangan New Zealand beberapa saat kemudian.
“Kami menguasai sepenuhnya perlawanan. Pihak lawan langsung tidak memberikan sebarang ancaman. Tiga mata boleh dikatakan sudah berada dalam genggaman, tetapi satu kesilapan oleh Fitri sehingga menyebabkannya menerima kad, membolehkan lawan mula menjaringkan gol.
“Apapun, semua pemain beraksi dengan baik dan berjuang dengan bersungguh-sungguh, tetapi inilah hoki. Sudah tentu saya berasa kecewa dan marah kerana apabila anda menguasai perlawanan, tiba-tiba anda keluar dengan kekalahan 3-4.
“Lawan langsung tidak memberikan ancaman dan kami beri tentangan yang baik, namun disebabkan pemain negara menerima kad, kami beri kemenangan yang mudah kepada lawan,” katanya.
Malaysia akan menutup aksi peringkat kumpulan menentang Jepun dengan misi wajib menang pada Rabu.