Kami mahu jumpa Malaysia di final sebab penyokong terhebat -Miodrag

Kami mahu jumpa Malaysia di final sebab penyokong terhebat -Miodrag


KUALA LUMPUR – Misi terlaksana!

Hasrat Lubnan untuk mengubati kekecewaan mereka ditewaskan Tajikistan pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 Qatar akhirnya tercapai di Stadium Nasional Bukit Jalil petang tadi.

Skuad kendalian Miodrag Radulovic itu telah mengejutkan pasukan yang menduduki ranking 103 dunia itu dengan keputusan 1-0 dalam kejohanan Piala Pestabola Merdeka 2024 yang membuka tirai pada hari ini.

Miodrag menyifatkan kemenangan itu sebagai satu kepuasan besar untuk seluruh pasukannya selepas pemainnya dilayangkan kad merah dan ditewaskan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 beberapa bulan yang lalu.

“Kami sememangnya datang ke sini (Bukit Jalil) untuk mara ke perlawanan akhir (Pestabola Merdeka).

“Kami dapat menentang juara bertahan musim lalu (Tajikistan) dan membalas dendam kepada kekalahan sebelum ini..bola sepak tanpa keputusan terbaik tidak akan sempurna…saya sangat gembira sekarang (tebus kekecewaan),”katanya dalam sidang media selepas menang ke atas Tajikistan petang tadi.

Gol tunggal Lubnan dijaringkan oleh Jihad Ayoub hasil rembatan kencang pada minit ke-13 separuh masa pertama cukup untuk mengecewakan juara bertahan 2023 itu.

Mengulas lanjut. Miodrag berkata, kelebihan ranking pasukan lawan berbanding pasukannya yang menduduki tangga ke-116 tidak menjadi halangan untuk berdepan lawannya itu.

Katanya, beliau telah memperbaharui pasukan dengan memasukkan beberapa bakat muda dan baharu bercampur dengan yang berpengalaman berjaya membawa hasil yang diharapkan.

“Kami boleh menambah jaringan atas Tajikistan sebab dapat peluang banyak tetapi disebabkan perjalanan memenatkan dan keadaan cuaca panas di Bukit Jalil, agak keletihan tetapi masih dapat adaptasikan permainan dan beraksi dengan baik atas padang.

“Sekarang kami ada ruang yang cukup lama untuk berehat dan bersiap aksi final pada Ahad ini.

“Kalau boleh. kami sangat harapkan bertemu Malaysia di aksi final kerana penyokong mereka dengan sorakan yang boleh gegarkan stadium sememangnya istimewa dan kami mahu lihat dan merasainya juga malam Ahad ini.

“Saya hormati bola sepak Malaysia sebab kemudahan, infrastruktur, liga dan juga penyokongnya terbaik, dan teringin rasa sendiri kehadiran penyokong Malaysia,” ujar beliau lagi.

Miodrag  juga menegaskan bahawa pasukannya akan melihat aksi kedua Malaysia bertemu Filipina pada malam Rabu sebagai menganalisa corak permainan lawan untuk membantu persiapan skuad dari aspek taktikal.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top