“Kami Masih Suami Isteri” – Kaka Azraff Akhirnya Buka Mulut Dakwaan Rumah Tangga Bergolak

“Kami Masih Suami Isteri” – Kaka Azraff Akhirnya Buka Mulut Dakwaan Rumah Tangga Bergolak

“Kami Masih Suami Isteri” – Kaka Azraff Akhirnya Buka Mulut Dakwaan Rumah Tangga Bergolak


Spekulasi mengenai status rumah tangga penyanyi, Kaka Azraff bersama suaminya, Adam Azriff akhirnya terjawab apabila selebriti itu tampil mengesahkan hubungan mereka masih terjalin sebagai suami isteri.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqah Nor Azraff, 36, menjelaskan dia bukan enggan berkongsi tentang status rumah tangga, namun memilih untuk lebih berhati-hati agar perkara peribadi tidak terlalu dihebahkan kepada umum.

“Iya, kami masih suami isteri. Doakan yang baik-baik untuk kami. Saya sebenarnya bukan takut untuk dedahkan, cuma bimbang kalau terlalu menguar-uarkan perkara macam ini.

“Dulu saya terlalu naif dan tidak percaya tentang penyakit ain. Tetapi selepas melalui pelbagai perkara, saya jadi lebih berhati-hati untuk berkongsi hal peribadi, sama ada di media sosial atau secara terbuka,” jelasnya.

Pelantun lagu Sibuk itu berkata, urusan rumah tangga adalah perkara yang terlalu peribadi dan memadai untuk diketahui secara asas sahaja oleh orang ramai.

“Bagi saya, hal rumah tangga cukup orang tahu kisah dasarnya sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul MPT di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, anak saudara kepada penyanyi rock, Ella ini turut mengakui keselesaan anak-anak menjadi keutamaannya untuk tidak terlalu terbuka membicarakan soal peribadi.

“Saya risau tentang kesihatan mental anak-anak. Mereka akan membesar dan satu hari nanti boleh membaca.

“Saya tidak mahu mereka membaca perkara tidak baik mengenai rumah tangga saya dan bapa mereka,” katanya.

Tambah Kaka, sebagai selebriti, dia sedar kehidupan peribadi sering menjadi perhatian, namun berharap agar orang ramai memahami pendiriannya.

“Saya hanya minta doa. Kalau boleh, saya memang tidak mahu menyentuh langsung hal peribadi demi anak-anak.

“Tetapi saya faham ini adalah fasa yang perlu saya lalui sebagai selebriti dan saya hormati rakan media yang bertanya,” katanya.

Sebelum ini, rumah tangga pasangan itu kembali menjadi bualan apabila timbul dakwaan hubungan mereka bergolak sekitar Julai lalu. Bagaimanapun, Kaka memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan ketika itu.

Untuk rekod, Kaka dan Adam pernah sah bercerai talak satu secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Oktober 2024, namun pasangan ini dilaporkan kembali rujuk pada Januari lalu ketika masih dalam tempoh iddah.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6, Aryan, 4, serta Atta Adam yang kini berusia setahun.

Artikel Berkaitan: Kaka Azraff Anggap Ujian Rumah Tangga Sebagai Pengajaran, Bukan Kegagalan – “Tiada Apa Yang Perlu Disesali…”

Artikel Berkaitan: Mesra Dirangkul Erat, Kaka Azraff & Bekas Suami Dah Kembali Rujuk? – “Segalanya Telah Tertulis, I Love You A Trillion”



Source link

OR

Scroll to Top