Penyanyi Amira Othman dan suaminya, Fattah Amin menegaskan tidak pernah menarik laporan terhadap akaun media sosial ‘Musang Berjanggut’ yang telah memfitnah mereka.
Menerusi perkongsian di Threads, Amira berkata dia menerima banyak mesej meminta agar tidak menarik semula laporan untuk mencari siapa individu disebalik akaun berkenaan.
BACA: “Jahat Gila Mulut Binatang Tu, Bedal Je Fattah”

“Salam. Penuh DM saya orang mesej dan tag saya dan suami supaya jangan tarik laporan untuk mencari siapa Musang Berjanggut yang telah pun memfitnah kami macam-macam. Dia bercakap perkara-perkara yang tidak elok. Saya baca pun seram. Tak takut ke pada Allah,” katanya.
Sementara itu, Amira berkata dia dan Fattah sudah beberapa kali membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Untuk pengetahuan peminat, kami tidak pernah menarik laporan. Kami turun naik buat laporan di MCMC dan PDRM, malah berjumpa dengan Datuk Fahmi Fadzil untuk menangani isu ini. Bukankah isu buli siber ini harus dibanteras?” katanya.
Dalam pada itu, Amira berkata dia dan suaminya mahu mengetahui identiti individu di sebalik akaun berkenaan serta berharap dengan kuasa netizen isu itu dapat diselesaikan.






