mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Terpaksa mengehadkan aktiviti di tempat sesak dan mengelak menaiki pengangkutan awam.
Itu dilakukan rakyat Malaysia, Siti Murnirah Othman, 32, bersama keluarganya yang menetap United Kingdom (UK) bagi mengelak kejadian tidak diingini susulan rusuhan di beberapa bandar di negara itu.
Menurut Siti Murnirah, biarpun mereka sekeluarga menetap di Gloucester, kawasan tidak dilanda rusuhan berbanding Liverpool, Birmingham, Ireland Utara dan Middlesborough yang masih belum reda, namun mereka tetap berwaspada.
“Saya tinggal di Gloucester, setakat ini Alhamdulillah keadaan di sini masih terkawal, malah suami solat Jumaat pun okey saja tiada apa-apa berlaku dan biasanya polis akan beritahu masjid dulu jika ada rusuhan supaya kita lebih berhati-hati.
“Cuma sebagai langkah berjaga-jaga, kami kurangkan ke tempat ramai orang macam anak-anak kami tak bawa ke taman permainan selain membeli barang dapur secara dalam talian saja.
“Kami juga cuba elak naik pengangkutan awam seperti bas atau tren kerana masih ada rasa takut… kita tak tahu kadangkala nampak mereka macam okey tetapi nanti boleh buat bukan-bukan (membahayakan),” katanya berkongsi situasi terkini rusuhan UK kepada Harian Metro.
Dilaporkan, pihak berkuasa UK masih bergelut meleraikan rusuhan yang disifatkan terburuk di negara itu sejak rusuhan London 2011 sehingga menyaksikan hampir 430 orang ditangkap dan sekurang-kurangnya 120 didakwa selain menyebabkan beberapa negara mengeluarkan amaran perjalanan untuk UK.
Mengulas lanjut, ibu tiga anak yang bekerja dalam sektor penjagaan kesihatan itu berkata, sejak enam tahun menetap di negara itu, ini kali pertama mereka berdepan dengan rusuhan yang menyasarkan masyarakat Islam dan pendatang asing.
“Polis memang sangat menjaga (keselamatan) kalau siapa buat hal memang akan dimasukkan dalam penjara.
“Cuma rusuhan yang masih berterusan di sesetengah bandar lain itu sedikit sebanyak membimbangkan kerana anak-anak akan masuk sekolah pada awal September ini manakala ibu bapa saya dan mentua di Malaysia akan datang melawat kami Oktober nanti.
“Jadi kami sentiasa berhubung dengan keluarga di Malaysia bagi menghilangkan kerisauan mereka sejak rusuhan ini berlaku,” katanya.
Katanya, dia dan suami juga masih meneruskan rutin seperti biasa dengan memandu sendiri ke tempat kerja masing-masing.
“Saya bersyukur rakan-rakan di tempat kerja sangat baik, malah rusuhan ini berlaku ketika anak-anak cuti sekolah musim panas, jadi kebanyakan masa mereka hanya di rumah.
“Saya kerja sebelah malam manakala suami siang jadi kami boleh bergilir menjaga anak-anak.
“Saya sangat berharap rusuhan ini akan berakhir cepat supaya kami dapat menjalani rutin kehidupan dalam keadaan harmoni dan aman damai,” katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, siri rusuhan di beberapa bandar di UK tercetus selepas insiden tikaman di kelas tarian bertemakan Taylor Swift di Southport, barat laut London, 29 Julai lalu sehingga mengorbankan tiga kanak-kanak perempuan manakala lima lagi kanak-kanak cedera parah.
Ia meletus akibat khabar angin mula tersebar di media sosial mendakwa, penyerang seorang pencari suaka beragama Islam, bagaimanapun suspek kemudian dikenali sebagai Axel Rudakubana, 17, yang dilahirkan di Wales dengan media UK melaporkan, ibu bapanya berasal dari Rwanda.
Sejak itu, rusuhan mula meletus di seluruh pekan serta bandar di London dan Ireland Utara dengan masjid dan pendatang asing turut menjadi sasaran penunjuk perasaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd