‘Kami sudah ambil iktibar’

‘Kami sudah ambil iktibar’


Ahmad Aysar FOTO: MALAYSIA NT

SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara bertekad menampilkan aksi lebih mantap pada saingan Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand bulan depan selepas mengambil pengajaran daripada kegagalan di Piala ASEAN baru-baru ini.

Pertahanan Harimau Muda, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri menegaskan, kesemua pemain kini sedar cabaran besar yang menanti dan komited untuk memastikan Malaysia layak ke pusingan akhir di Arab Saudi.

“Semestinya sasaran kami adalah untuk layak ke Saudi. Kekalahan di Jakarta tempoh hari menjadi pengajaran berharga dan kami sudah ambil iktibar. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan di Thailand nanti,” katanya.

Menurut Ahmad Aysar, meskipun perjalanan tidak mudah kerana semua pasukan turut memburu tiket ke Arab Saudi, Harimau Muda akan memberikan aksi terbaik dengan mengikuti segala arahan jurulatih, Nafuzi Zain.

“Banyak perkara yang perlu diperbaiki tetapi itu tugas jurulatih untuk menilai. Kami hanya perlu memberi fokus sepenuhnya dan melaksanakan arahan beliau sebaik mungkin,” ujarnya.

Pada kempen Piala ASEAN B-23 di Indonesia sebelum ini, skuad negara yang dibarisi sepenuhnya pemain tempatan gagal melepasi peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Skuad Harimau Muda mengharungi kem latihan selama 13 hari di Bangkok bermula Isnin sehingga 31 Ogos ini yang turut meliputi dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Oman.

Selepas itu, mereka yang diundi dalam Kumpulan F akan membuka tirai menentang Lubnan pada 3 September, diikuti aksi bertemu Mongolia (6 September) sebelum menutup saingan menentang tuan rumah Thailand di Stadium True BG, Pathum Thani, Thailand pada 9 September.



Source link

OR

Scroll to Top