Ipswich: Gol daripada pemain gantian, Enes Unal dan Dango Ouattara, membawa Bournemouth kepada kemenangan dramatik 2-1 ke atas Ipswich Town di Portman Road, sekali gus menghancurkan impian penyokong tuan rumah untuk meraih kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama musim ini.
Bournemouth kini naik ke tangga kelapan dengan 24 mata, manakala Ipswich terus bergelut di zon penyingkiran di tempat ke-18 dengan hanya sembilan mata daripada 15 perlawanan, empat mata di belakang zon selamat.
Kekalahan ini melanjutkan rentetan tiga kekalahan liga berturut-turut buat Ipswich.
Sebaliknya, Bournemouth terus membina momentum selepas kemenangan mengagumkan mereka ke atas Tottenham Hotspur dan Wolverhampton Wanderers.
Jurulatih Bournemouth, Andoni Iraola, mengakui pasukannya bermula perlahan tetapi pujian diberikan kepada pemain gantian yang mengubah perlawanan.
“Kami sebenarnya tak patut kalah. Kami ada peluang baik tetapi gagal menyudahkan, terutama pada separuh masa pertama,” katanya kepada BBC.
Ipswich memimpin perlawanan menerusi gol Conor Chaplin pada minit ke-21 selepas hantaran Cameron Burgess.
Bournemouth hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat tetapi Marcus Tavernier terkena tiang, manakala Justin Kluivert disekat oleh Burgess.
Pada separuh masa kedua, Bournemouth meningkatkan tekanan tetapi sering digagalkan oleh pertahanan Ipswich yang kental dan penjaga gol Arijanet Muric yang cemerlang.
Ketika permainan hampir tamat, Bournemouth menyamakan kedudukan pada minit ke-87 melalui tandukan Unal yang memantul pemain pertahanan Ipswich, Burgess.
Semangat mereka terus membara, dan pada minit kelima masa kecederaan, Ouattara menjaringkan gol kemenangan dengan rembatan kencang ke bumbung gawang.
Kemenangan pertama Bournemouth ke atas Ipswich sejak 1990 itu membawa mereka tiga mata di belakang pasukan tempat keempat, Manchester City.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan kedudukan empat teratas, Iraola berkata: “Kami tak perlu lihat kedudukan sekarang, terlalu awal. Yang penting adalah terus menang dan lihat berapa banyak mata yang boleh kita kumpulkan menjelang pertengahan musim.”
© New Straits Times Press (M) Bhd