ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tampil bersuara berhubung spekulasi liar yang cuba mengaitkan insiden serangan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim, dengan dirinya dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi baginda, TMJ menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan tidak berasas itu dan menyifatkan cubaan mengaitkan insiden berkenaan dengan baginda sebagai tindakan pengecut dan tidak bertanggungjawab.
“Dalam insiden Faisal Halim, timbul pula bisikan dan spekulasi yang cuba kaitkan saya. Biar saya jelaskan, saya dan JDT tidak perlu turunkan diri ke tahap serendah itu,” titah baginda.
“Saya ini seorang askar. Kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu,” tambah baginda lagi dengan nada penuh ketegasan.
Kenyataan itu jelas memberi mesej bahawa baginda tidak akan membiarkan sebarang fitnah terus berlegar tanpa jawapan.
TMJ juga menyentuh bagaimana segala isu yang timbul dari insiden konsert hingga ke Bazaar Ramadan sentiasa cuba dikaitkan dengannya tanpa asas yang kukuh.
“Nampaknya, apa sahaja yang berlaku mesti dikaitkan dengan saya. Menarik, bukan?” titah baginda sinis.
Dalam masa sama, baginda menegaskan bahawa pengaruh yang dimilikinya bukan sesuatu yang boleh dihapuskan begitu sahaja dan ia akan terus bertambah seiring masa.
“Jadi ini nasihat saya dengan rendah hati: belajarlah untuk terima… atau cubalah habiskan saya terus. Sebab saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada Negeri saya dan Memartabatkannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd