am@hmetro.com.my
Segamat: “Kami ingatkan kakak boleh diselamatkan lagi. Tapi Allah lebih menyayanginya dan kami perlu terima hakikat kerana itu takdir dari Allah,” kata Muhammad Haziq Muhammad Karim, 15, adik kepada Manarina Hasya yang maut selepas dihimpit dalam kemalangan membabitkan dua bas di Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Manarina Hasya, anak sulung daripada empat beradik, meninggal dunia akibat kecederaan di badan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Menurut Muhammad Haziq, dia sekeluarga mendapat tahu kakaknya yang juga penuntut semester keempat jurusan pengurusan perniagaan terbabit kemalangan selepas dimaklumkan pihak pengurusan UUM, semalam.
“Kami pada mulanya seolah-olah tidak percaya kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Bila dimaklumkan kakak dimasukkan ke hospital, barulah tahu keadaannya sudah teruk.
“Sehingga petang itu (semalam) kami diberitahu kakak sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chempelak, Labis, di sini, hari ini.
Katanya lagi, kali terakhir dia dan ahli keluarga bertemu arwah ialah ketika Aidilfitri sebelum kakaknya berangkat pulang ke kampus seminggu kemudian.
Menurutnya, kakak sempat bermaafan sesama ahli keluarga.
“Kakak adalah pendorong ahli keluarga, selalu pesan pada adik-beradik supaya belajar rajin dan jangan berhenti sekolah. Kakak nak sangat tengok adiknya ke menara gading seperti dia.
“Kakak cakap pendidikan adalah masa depan adik-beradik dan itulah pesan yang selalu dititipkan setiap kali dia balik kampung bercuti,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara arwah, Nur Aliza Ahmad, 36, tidak menyangka gambar keluarga yang dirakam ketika hari raya pertama adalah detik terakhir.
Katanya, mereka sempat mengambil gambar memandangkan pada raya pertama semua ahli keluarga pulang termasuk arwah.
“Biasanya detik ini sukar dilakukan kerana ada pulang beraya tidak sama waktu. Jadi kami ambillah gambar semua sekali, rupa-rupanya itulah detik terakhir kami bersama arwah.
“Arwah pendiam, sebelum melanjut pengajian ke UUM, arwah menjaga nenek, Rokiah Ithnin, 64 , di rumahnya di Felcra Bukit Kepong. Nenek pun sedih bila tahu arwah sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, ibu bapa arwah, Muhammad Karim Sulaiman, 50, dan Hariah Ahmad, 47, kini berada di Subang, Selangor bagi menyambut kepulangan jenazah Manarina Hasya ke Felda Chempelak.
Jenazah Manarina Hasya dijangka tiba seawal-awalnya 8 malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak.
KPT dukacita pemergian penuntut UUM akibat kemalangan dalam kampus
UUM sedia bantu uruskan jenazah Manarina
© New Straits Times Press (M) Bhd