PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menegaskan bahawa pasukannya tidak akan berputus asa dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun semakin jauh ketinggalan di belakang pendahulu liga, Liverpool selepas kekalahan kepada West Ham United, Sabtu lalu.
Menurut Arteta, skuadnya masih berada dalam prestasi terbaik biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk kecederaan pemain utama.
“Kami tidak akan berhenti. Langkah mayat saya dulu,” katanya.
Ketika ini, Arsenal berada di tangga kedua liga dengan 11 mata di belakang Liverpool, namun masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Keadaan semakin mencabar buat The Gunners selepas kehilangan penyerang utama Gabriel Jesus dan Kai Havertz untuk baki musim ini, manakala dua tonggak sayap, Bukayo Saka serta Gabriel Martinelli turut mengalami kecederaan.
Liverpool pula semakin kukuh apabila belum tewas dalam saingan liga sejak September lalu.
“Jika seseorang memberitahu anda pada awal musim bahawa kami akan bermain lima kali dengan kekurangan seorang pemain lebih setengah jam setiap perlawanan, dan kehilangan ramai pemain utama, pasti ramai yang menjangka kami berada di pertengahan liga sekarang.
“Tetapi itu bukan realitinya. Ini menunjukkan semangat juang, daya tahan serta keazaman tinggi pasukan,” katanya.
Arteta turut mendedahkan bahawa dalam 15 perlawanan sebelum kekalahan kepada West Ham, Arsenal sebenarnya mengutip jumlah mata yang sama dengan Liverpool.
“Kekalahan itu sukar diterima, lebih-lebih lagi apabila Liverpool menang pada hari yang sama.
“Namun, realitinya masih banyak perlawanan perlu diharungi dan kami harus bangkit. Kami memiliki tahap permainan, konsistensi dan keinginan untuk terus mencabar kejuaraan. Itulah yang akan kami lakukan pada Rabu ini.
“Pada akhirnya, terdapat jumlah mata tertentu yang perlu dicapai untuk menjuarai liga ini dan kami perlu memastikan kami mencapainya jika mahu terus bersaing,” ujarnya.