'Kami tidak fikir pasukan kedua atau pertama'- Safwan

'Kami tidak fikir pasukan kedua atau pertama'- Safwan



sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Biarpun skuad lawan kini dilanda masalah dalaman, kita tidak boleh mengambil mudah.

“Sebaliknya kita perlu berwaspada dengan ancaman skuad Kenari itu lebih-lebih lagi beraksi di tempat mereka sendiri,” ujar Muhammad Safwan Mazlan.

Bek tengah Terengganu FC (TFC) itu berkata demikian menjelang pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Tambah pemain yang baharu pulang daripada tugasan perlawanan antarabangasa bersama pasukan kebangsaan itu, pelbagai kemungkinan boleh berlaku biarpun skuad itu kini dilanda ‘badai’.

“Sejujurnya kami tidak mahu memikirkan tentang pasukan lawan sama ada mereka bakal menurunkan barisan pemain ‘kedua’ ataupun berpengalaman biarpun kini mereka berdepan dengan krisis dalaman.

“Ini kerana yang penting pasukan kami perlu bersedia untuk mengharungi aksi 90 minit dalam misi menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Jadi saya mengingatkan diri dan rakan sepasukan agar tidak leka selain beraksi mengikut perancangan jurulatih bagi memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong,” ujar pemain berusia 22 tahun itu ketika dihubungi.

TFC yang kini menghuni di tangga ketiga liga wajib menang sekiranya mahu menjadi pencabar kepada Selangor FC yang meninggalkan skuad Penyu itu dengan kelebihan lapan mata.

Sekiranya tewas, berkemungkinan besar kedudukan ketiga liga bakal dihuni pasukan baharu kerana skuad itu hanya dipisahkan dua mata dengan pasukan di tangga keempat dan kelima liga iaitu Perak FC dan PDRM FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top