Kampung Baru lubuk makanan warga kota

Kampung Baru lubuk makanan warga kota


KUALA LUMPUR – Mustahil untuk penduduk di sekitar Kuala Lumpur tidak mengenali ‘Kampung Baru’. Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, Kampung Baru bukan hanya sebuah perkampungan tetapi juga ‘syurga makanan’.

Melangkah masuk ke Kampung Baru, penulis dapati setiap lorong di kampung ini dipenuhi dengan pelbagai gerai makanan.

Bukan sahaja makanan tempatan dan barat, tetapi hidangan popular dari Thailand dan Indonesia juga ada dijual.

Deretan kedai yang menghidangkan pelbagai menu di Kampung Baru. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JUN 2024.

Disebabkan itu, tidak hairanlah mengapa Kampung Baru sesak di malam hari pada hari biasa dan pada pagi Sabtu dan Ahad.

Pertama kali memasuki tempat ini, penulis rasa teruja kerana gerai makanan di kampung ini ada di mana-mana, sama ada besar atau kecil.

Hendak makan makanan barat ada, mahu makan nasi lemak dari siang hingga malam pun ada, teringin makan patin tempoyak, masak lemak Negeri Sembilan pun tidak sukar mencari.

Apatah lagi masakan Kelantan nasi kerabu, pemanis mulut  – semua ada di sini, bahkan di merata-rata sehingga timbul rasa cuak untuk memilih yang mana satu.

 

Nor Azman Sulaiman

Seorang pengunjung, Nor Azman Sulaiman, 41, sependapat dengan penulis bahawa Kampung Baru adalah ‘syurga makanan’ buat warga kota.

Menurutnya, dia selalu bersama isterinya datang ke sini kerana kepelbagaian pilihan makanan yang ada.

“Kalau nak makan nasi campur, saya boleh cadangkan semua untuk cuba makan di Restoran Gerak 23.

“Harga berpatutan, aneka lauk sangat banyak sampai boleh rambang mata dan paling penting, kita akan puas hati,” katanya.

Bukan sahaja hidangan tempatan, menu dari negara luar turut dijual di Kampung Baru. oto AIZAT ZAINAL, 3 JUN 2024.

Selain nasi campur, beliau juga kerap ke Syurga Dessert, untuk menjamu aneka pencuci mulut yang membuat pelanggan kecur air liur.

“Kalau datang ke Kampung Baru, lupakanlah sahaja niat kita untuk diet kerana aroma bau sepanjang jalan di sini amat akan membuat kita terliur.

“Tidak dapat dinafikan jalan di sini agak sesak tapi kualiti makanan dan kesedapan yang dirasa apabila kita duduk makan di meja menjadikan ianya berbaloi,” tambahnya.

Syasya Adhwa Mohamed Salehudin

Seorang lagi pengunjung, Syasya Adhwa Mohamed Salehudin, 21, dia sering ke sini untuk membeli lokcing dan pulut mangga.

Katanya, kepelbagaian lokcing memberikannya banyak pilihan selain dijual pada harga yang murah.

Antara pilihan lokcing yang popular di kedai ini ialah sosej pulut ayam, ayam pedas serta sosej ayam cheese bakar selain menawarkan variasi pilihan sos seperti sos pedas dan manis.

Antara makanan yang ada di Kampung Baru. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JUN 2024.

“Pulut mangga saya beli di sini merupakan antara paling sedap yang saya pernah makan dalam hidup saya, rasa manis dan masam yang seimbang akan membuatkan mereka yang merasa menginginkan lagi.

“Sebelum ini saya bukan penggemar pulut mangga tapi apabila sudah rasa pulut mangga yang dijual di sini, buat saya rasa nak lagi, bak orang kata belum cuba belum tahu.

“Tak dapat dinafikan ramai orang hadir ke sini, dan sentiasa sesak, tapi ini menunjukkan sebab yang kukuh dan membuktikan populariti Kampung Baru sebagai syurga makanan,” ujarnya.

Muhammad Shukri Nawawi

Muhammad Syukri  Nawawi, 28, berkata, Kampung Baru sebagai lubuk makanan yang tidak pernah mengecewakan kaki makan.

“Kalau saya ingin mencadangkan makanan kepada orang awam, saya pilih Suraya Seafood kerana pilihan makanan sangat banyak dan harga juga amat berbaloi,” tambahnya.

Selain Muhammad Syukri, beberapa warga kota yang ditemui penulis juga cukup mengenali dengan restoran ini kerana masakan Thailandnya yang cukup kena dengan selera.

“Restoran ini juga digelar ‘Mini Hat Yai’ oleh pengunjung kerana orang kata tak perlu ke Thailand kerana Kampung Baru dah ada,” ujar bapa muda ini.

Kampung Baru sentiasa meriah dengan orang ramai yang kaki makan. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JUN 2024.

Di Suraya Seafood, semua orang harus mencuba makanan panas yang menjadi pilihan hangat pelanggan seperti tom yam, aneka sup dan makanan bakar.

Setiap kedai di sini menawarkan pengalaman yang unik, memenuhi pelbagai citarasa dan keinginan.

Buat pemburu makanan,  Kampung Baru ini merupakan destinasi wajib untuk disinggah jika hadir ke Kuala Lumpurr.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menikmati makanan yang menarik dan menjelajah keindahan kulinari Kampung Baru di sini! – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top