Rom: Sebuah kampung kecil di selatan Itali dilaporkan melarang penduduknya daripada jatuh sakit yang serius, lapor BBC.
Penduduk yang tinggal di Belcastro “diperintahkan untuk mengelakkan diri daripada menghidap sebarang penyakit yang mungkin memerlukan bantuan perubatan kecemasan,” menurut perintah daripada Datuk Bandar, Antonio Torchia.
Kira-kira separuh daripada 1,200 penduduk Belcastro berusia lebih 65 tahun, manakala Jabatan Kecemasan dan Kecederaan yang terdekat terletak lebih 45 kilometer (km), kata datuk bandar itu.
Torchia berkata, Jabatan Kecemasan dan Kecederaan hanya boleh dicapai melalui jalan yang mempunyai had laju 30 kilometer sejam (km/j).
Klinik di kampung itu juga tidak dibuka secara tetap dan tidak menawarkan perkhidmatan pada hujung minggu, cuti atau selepas waktu pejabat.
Torchia memberitahu stesen televisyen Itali bahawa sukar untuk “berasa selamat apabila anda tahu jika anda memerlukan bantuan, satu-satunya harapan anda adalah untuk sampai ke Jabatan Kecemasan dan Kecederaan tepat pada waktunya” – dan jalan dilalui itu “lebih berisiko daripada sebarang penyakit.”
Sebagai sebahagian daripada perintah, penduduk juga diperintahkan “untuk tidak melakukan tingkah laku yang boleh membahayakan dan mengelakkan kemalangan domestik”, serta “tidak meninggalkan rumah terlalu kerap, melakukan perjalanan atau bersukan, sebaliknya hanya berehat sepanjang masa.”
Dilaporkan juga, masih tidak jelas bagaimana peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan.
Wilayah Calabria yang penduduknya tidak ramai – terletak di hujung selatan Itali – adalah salah sebuah wilayah termiskin di negara itu.
Pengurusan politik yang lemah dan campur tangan mafia merosakkan sistem penjagaan kesihatan di sana, yang diletakkan di bawah pentadbiran khas daripada kerajaan pusat hampir 15 tahun lalu.
Pesuruhjaya yang dilantik oleh Rom menghadapi kesukaran dalam menangani tahap hutang yang tinggi dihadapi oleh hospital.
Ia juga menyebabkan penduduk Calabria terus terhimpit dengan kekurangan kakitangan perubatan dan katil, serta senarai menunggu yang tidak berkesudahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd