Kampung Sungai Baru: Kerajaan pastikan perumahan mampu dimiliki orang Melayu

Kampung Sungai Baru: Kerajaan pastikan perumahan mampu dimiliki orang Melayu


Putrajaya: Kerajaan memberi jaminan projek perumahan baharu yang akan dibangunkan di Kampung Sungai Baru nanti mampu dibeli serta dimiliki oleh orang Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan memastikan perkara itu dapat dilaksanakan sebaik sahaja projek berkenaan siap sepenuhnya.

“Bagi saya dan Jabatan Wilayah Persekutuan, kita dalam proses untuk memastikan supaya pemilikan itu mampu milik dan boleh dimiliki oleh rakan-rakan dari bangsa Melayu.

‘”Kita tak kata bangsa Melayu tak boleh memiliki kalau hartanah itu harga tinggi (kerana) ada sahaja orang-orang Melayu yang mampu, tetapi kita berusaha untuk memastikan harga itu adalah harga yang boleh mampu milik,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mahukan pemaju Kampung Sungai Baru membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu.

Johari melalui kenyataannya semalam dilapor berkata, pemaju Kampung Sungai Baru perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang diberikan oleh Sultan Selangor ketika itu pada zaman British.

Tambah beliau, pemaju harus memastikan orang Melayu dan penduduk asal tanah itu, mampu memiliki kediaman yang akan dibangunkan, dengan harga yang bersesuaian dan berupaya membina kehidupan yang baik di situ bersama keluarga mereka.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha, berkata, proses pengosongan yang dijalankan adalah berdasarkan keputusan mahkamah dan dilaksanakan oleh pihak bailif.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top