Kanak-kanak 12 tahun dikhuatiri lemas

Kanak-kanak 12 tahun dikhuatiri lemas


am@hmetro.com.my

Baling: Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di sungai di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, di sini semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, yang menetap di Felda Teloi Kanan, di sini dipercayai tenggelam di sungai yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari rumahnya itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.17 petang semalam.

Beliau berkata, terdahulu, sepasukan sembilan anggota dari BBP Sik yang diketuai Muhammad Soffuan Sabri tiba di lokasi, sejurus mereka menerima maklumat pada jam 4.16 petang disebabkan jarak dekat dengan lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diserahkan kepada BBP Baling untuk melakukan pencarian mangsa di lokasi.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai mandi bersama lapan rakannya di sungai berkenaan sebelum dia dilaporkan tenggelam ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, operasi pencarian dilakukan dengan bantuan penduduk kampung berkenaan dan polis pada petang semalam, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada 6.30 petang semalam berikutan faktor cuaca gelap dan disambung semula 8 pagi ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top