MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala enam yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Penghulu Jaabar di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, sebuah Perodua Axia yang dipandu oleh seorang wanita berusia 31 tahun dipercayai hilang kawalan selepas mengalami microsleep, dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, akibat pelanggaran itu, Muhammad Alexander Zulkarnain Muhammad Nur Basir yang menaiki Perodua Axia mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Pemandu Perodua Axia yang juga ibu kepada mangsa mengalami patah kaki kanan, manakala tiga lagi anaknya yang berusia antara empat hingga sembilan tahun turut mengalami kecederaan.
“Pemandu Perodua Myvi dan seorang penumpangnya turut mengalami kecederaan dalaman dan kini menerima rawatan di Hospital Melaka,” katanya.
Tambah Christopher, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu Perodua Axia yang tertidur ketika memandu, menyebabkan kenderaan itu memasuki laluan bertentangan.
Ujarnya, polis telah membuka siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Aqil Yusoff di talian 013-9393747. – UTUSAN