am@hmetro.com.my
Muar: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama tujuh sekeluarga kemalangan angkara dirempuh pemandu treler mengalami microsleep (terlelap sejenak) di Kilometer 148.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Bukit Gambir, di sini, hari ini.
Kemalangan berlaku pada 2.40 petang membabitkan Proton Iswara yang dinaiki keluarga terbabit dengan treler dipandu lelaki berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan kemalangan daripada orang awam pada 3.44 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu treler terbabit mengalami microsleep menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan.
“Treler terbabit kemudian melanggar besi penghadang lebuh raya dan secara kebetulan, kereta dinaiki keluarga terbabit datang dari arah sama lalu merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu, kanak-kanak terbabit parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh lagi mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, pemandu treler terbabit hanya cedera ringan kemudian ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, lelaki itu direman di Mahkamah Majistret Muar esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd