Kuala Lumpur: Pemakanan seimbang memainkan peranan penting dalam perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak. Hidangan berkhasiat membantu menguatkan tubuh, meningkatkan daya tumpuan serta mengekalkan tenaga, sekali gus membentuk asas pembelajaran yang yakin dan kreatif.
Seni pula menjadi medium untuk mengaktifkan imaginasi, empati dan emosi, membolehkan kanak-kanak menzahirkan idea mereka serta mengasah kemahiran ekspresi diri sejak usia muda.
Gabungan kedua elemen ini diterapkan dalam program pendidikan interaktif yang diadakan di 30 sekolah rendah sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, membabitkan lebih 6,300 murid.
Program ini bertujuan menunjukkan bagaimana pemakanan sihat boleh menyokong kreativiti dan pembangunan sahsiah kanak-kanak.
“Kanak-kanak sememangnya kreatif dan imaginatif. Apabila mereka diberi peluang untuk belajar tentang pemakanan seimbang sambil menzahirkan idea melalui seni, ia membina keyakinan diri dan minat terhadap gaya hidup sihat,” kata Teoh Wei Ling, Ketua Pemasaran, A Clouet (Malaysia) Sdn Bhd (Ayam Brand).
Program ini membabitkan tiga komponen utama iaitu Sesi Ceramah Pemakanan, Pertandingan Seni Individu, dan Pertandingan Mural Antara Sekolah, bagi memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada murid.
Majlis penyampaian hadiah diadakan dari 24 hingga 26 November lalu di sekolah-sekolah pemenang, dengan kehadiran wakil Jabatan Pendidikan Negeri untuk meraikan kreativiti, semangat berpasukan dan pencapaian murid.
“Program sebegini menghubungkan pemakanan, seni dan nilai murni, serta memberi keyakinan kepada murid untuk ekspresi diri secara kreatif,” kata Encik Muslim bin Mustafa, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam sesi ceramah yang diadakan antara Julai hingga September lalu, murid didedahkan dengan konsep pemakanan sihat, Pinggan Sihat Malaysia, penyediaan bekal seimbang, serta gaya hidup aktif.
Murid turut menerima pek hadiah termasuk produk Ayam Brand yang mudah disediakan dan memberi nutrisi untuk menyokong hidangan sihat di rumah.
Sementara itu, pertandingan seni individu yang berlangsung dari Jun hingga Oktober lalu memberi ruang kepada murid menzahirkan bagaimana pemakanan sihat dan seimbang mampu menyemarakkan kreativiti mereka.
Penyertaan dinilai berdasarkan kreativiti, mesej yang jelas dan daya tarikan visual, sekali gus menonjolkan bakat seni pelajar.
© New Straits Times Press (M) Bhd





