Kane belum mahu kembali ke Tottenham

Kane belum mahu kembali ke Tottenham


Munich: Harry Kane dijangka terus kekal bersama Bayern Munich kerana mahu memberi tumpuan memburu gelaran Liga Juara-Juara Eropah berbanding kembali menyertai Tottenham Hotspur.

Kapten England itu menikmati tempoh cemerlang sejak meninggalkan Tottenham pada musim panas 2023 apabila membantu Bayern meraih beberapa trofi utama, termasuk dua kejuaraan Bundesliga.

Walaupun sering dikaitkan dengan kepulangan ke Tottenham ketika kariernya menghampiri penghujung, tiada petanda penyerang berusia 33 tahun itu mahu meninggalkan juara Jerman berkenaan dalam masa terdekat.

Ramai penyokong bola sepak England sebelum ini percaya Kane akan kembali ke Liga Perdana Inggeris untuk memburu rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman milik Alan Shearer.

Shearer menjaringkan 260 gol dalam Liga Perdana Inggeris, manakala Kane sudah mengumpul 213 gol, sekali gus hanya memerlukan beberapa musim lagi untuk memecahkan rekod itu.

Bagaimanapun, wartawan Jerman, Christian Falk, menafikan laporan yang mengaitkan Kane dengan perpindahan ke Tottenham atau Real Madrid pada jendela perpindahan kali ini.

“Berhubung minat Real Madrid dan Tottenham, Real perlu merancang semula dan proses itu mungkin mengambil masa setahun atau dua tahun. Mungkin mereka lebih bersedia musim depan di bawah pengurus baharu, José Mourinho, namun mereka sendiri belum pasti.

“Di Bayern Munich, Harry Kane tahu dia mempunyai peluang. Maaf Tottenham. Harry mahu memenangi Liga Juara-Juara sekarang. Dia tidak mahu menunggu Tottenham membina pasukan untuk masa depan. Dia mahukan trofi terbesar,” katanya.

Menurut laporan itu, Kane lebih cenderung menandatangani lanjutan kontrak bersama Bayern.

Keputusan itu didorong prestasi Bayern yang semakin mantap di bawah kendalian Vincent Kompany, selain keyakinan bahawa kelab itu mampu mencabar kejuaraan Liga Juara-Juara dalam tempoh satu atau dua musim lagi.

“Bayern Munich akan memberi Harry Kane masa bercuti selepas England tersingkir daripada Piala Dunia. Tempoh itu juga boleh dimanfaatkan untuk memulakan rundingan kontrak dan kami berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kami benar-benar mahu dia terus kekal di Bundesliga.

“Apa yang saya dengar mengenai situasi kontraknya datang terus daripada pihak kelab kerana Harry enggan membincangkan perkara itu ketika memberi tumpuan kepada kempen Piala Dunia bersama England.

“Kini dia boleh kembali memberi fokus kepada Bayern Munich. Mungkin kejohanan itu menyedarkan apa yang dimilikinya di Bayern. Dia akan terus memenangi trofi di Bavaria, namun sasaran utamanya ialah Liga Juara-Juara, satu-satunya trofi besar yang masih belum dimenanginya. Kane tahu dia mempunyai peluang besar untuk mencapainya jika terus kekal bersama Bayern,” kata Falk.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top