Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti dan memanggil seorang pemandu bas ekspres yang tular di media sosial kerana meriba seorang wanita sewaktu bertugas.
Perbuatan itu dirakam seorang penumpang bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin Sentral pada pukul 2 petang semalam.
Dalam rakaman itu, wanita berkenaan dilihat memegang stereng sambil duduk di riba pemandu ketika bas sedang bergerak.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata pihaknya segera menyiasat perkara itu sebaik sahaja rakaman kejadian berkenaan tular.
“Pemandu terlibat serta syarikat bas telah dikenal pasti. Pemandu berkenaan telah dipanggil untuk dirakam keterangan pagi ini.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk arahan lanjut sebaik sahaja siasatan selesai,” katanya dalam laporan Sinar Harian.
Beliau turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi pejabat JPJ berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Muhammad Kifli mengingatkan semua pengguna jalan raya khususnya pengendali kenderaan komersial agar sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan semua pihak.
“Kepada pemilik syarikat, pastikan pemandu yang dipilih dan dilantik ialah pemandu kompeten, tiada kesalahan lalu lintas serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam bas untuk memantau pemandu dan tingkah laku penumpang,” tegasnya.






