BAGAI sireh pulang ke gagang, Datuk Karim Ibrahim kembali menerajui Olahraga Malaysia (MA) selepas enam tahun.
Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) itu dipilih sebagai presiden bagi sesi 2025-2028 selepas meraih 25 undi pada pemilihan pucuk pimpinan badan itu di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Karim yang pernah memimpin badan olahraga negara itu bagi sesi 2015-2019 mengenepikan cabaran Timbalan Presiden MA, Datuk Mark William yang memperoleh 14 undi sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-22.
“Terima kasih kepada (perwakilan) yang undi dan tidak undi saya. Selepas ini kita perlu bersatu dan kerja bersama-sama memajukan olahraga negara.
“Saya juga memohon secara jujur agar segala kata-kata buruk semasa kempen dapat diketepikan.
“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang memberi laluan ini,” katanya.
Terdahulu, Shahidan membuat kejutan apabila menarik diri daripada bertanding jawatan nombor satu itu.
Selain Ahli Parlimen Arau, turut menarik diri ialah Presiden Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
“Saya menarik diri sebab dalam perancangan Insya-ALLAH saya dijangka boleh menang. Tiada masalah. Jadi saya beri laluan kepada sahabat saya, Karim untuk bertanding.
“Kalau nak serah, biarlah serah dalam keadaan menang. Pengorbanan dalam waktu kemenangan. Saya harap kemenangan itu boleh dipindahkan kepada orang lain.
“Saya harap perwakilan dapat terima hakikat itu,” ujar Shahidan.
Menerusi kemenangan itu, Karim akan bergandingan dengan Wan Hisham yang dipilih sebagai timbalan presiden selepas meraih 22 undi.
Beliau mengenepikan cabaran Mohamad Hassan yang memperoleh sembilan undi, manakala Sallehuddin Satar (lima undi).
Jawatan naib presiden menjadi rebutan sengit tujuh calon lelaki, namun hanya tiga terpilih iaitu Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah (29 undi), Datuk R Annamalai (24 undi) dan N Padmanathan (22 undi).
Dalam pada itu, Josephine Kang pula dipilih sebagai naib presiden bagi mengisi kouta wanita.