Karnival Ban Canal 2025 Pacu Pelancongan Lestari Sabak Bernam

Karnival Ban Canal 2025 Pacu Pelancongan Lestari Sabak Bernam


Sabak Bernam : Seramai 20,000 pengunjung memeriahkan acara Karnival Ban Canal 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Acara komuniti berimpak tinggi yang meraikan keindahan alam semula jadi, keunikan budaya dan kekayaan warisan pertanian Sabak Bernam.

Karnival ini adalah antara projek utama Sabak Bernam Development Area (SABDA) oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI dan rakan-rakan strategik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata penganjuran acara seperti ini adalah langkah strategik memperkenalkan keunikan warisan pertanian dan ekologi Selangor khususnya Sabak Bernam kepada dunia, sekali gus memupuk kesedaran terhadap pentingnya konsep pembangunan hijau dan lestari.

Menurut beliau, pihaknya berharap dapat memanfaatkan potensi ekopelancongan dan agropelancongan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan, memperkukuh kesejahteraan komuniti desa serta menyumbang kepada ekonomi negeri, menjaga kelestarian biodiversiti dan warisan budaya tempatan.

“Kejayaan acara ini akan memperlihatkan sinergi erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan, serta mengukuhkan cita-cita negeri Selangor menjadi negeri hijau, makmur dan berdaya tahan infrastruktur dan alam sekitar.

“Diharapkan dengan penganjuran karnival ini dapat menzahirkan semangat kebersamaan dalam menyokong pembangunan lestari untuk manfaat generasi akan datang.” katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna Merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail berkongsi karnival berkenaan bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi semangat komuniti Sabak Bernam dalam mengekalkan warisan dan memajukan ekonomi setempat.

Katanya, melalui penganjuran ini ia dapat memperkukuh identiti daerah sebagai pusat pelancongan berasaskan alam dan pertanian yang lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) – MBI, Datuk Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata inisiatif ini sejajar dengan komitmen MBI dalam memperkukuh agenda pembangunan wilayah luar bandar melalui pendekatan mampan dan inklusif.

Katanya, MBI, melalui SABDA, akan terus menyokong usaha menjadikan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan ekologi utama di Malaysia yang berupaya menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam.

Karnival Ban Canal mula dianjurkan pada tahun 2022 selepas diiktiraf sebagai acara pelancongan terkemuka apabila berjaya merangkul anugerah ‘Best Tourism Event’ dalam Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 (Tourism Industry Award 2025) anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).

Pengiktirafan berprestij ini mengesahkan komitmen SABDA, MBI dan rakan strategik terhadap pembangunan pelancongan lestari, pembabitan komuniti, serta pemeliharaan alam sekitar di Sabak Bernam.

Ia juga berperanan sebagai platform strategik memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian, di samping memastikan pemeliharaan biodiversiti dan kesejahteraan komuniti setempat.

Selain sebagai salah satu projek pemangkin SABDA, seiring dengan pembangunan Sekinchan Integrated Landing Port (SILP) dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top