MASJID NEGARA menyasarkan lebih 2,000 pengunjung hadir ke Karnival Mini Masjid Negara 2025 yang dianjurkan sempena Bulan Kemerdekaan negara.
Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni berkata, program yang akan diadakan selama sehari pada 23 Ogos itu menampilkan pelbagai aktiviti berbentuk ilmu, kebudayaan, kekeluargaan dan kemasyarakatan.
USTAZ EHSAN
“Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Explorace Iman yang melibatkan 30 hingga 40 penyertaan sekolah rendah dan menengah di sekitar Masjid Negara dan ibu kota.
“Pertandingan azan dan mewarna turut diadakan selain pameran serta gerai jualan dan saringan kesihatan buat para pengunjung.
“Selain itu, demonstrasi memadam kebakaran turut diadakan yang akan dikendalikan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya kepada media di Masjid Negara sempena pelancaran karnival tersebut pada Rabu.
Tambah Ustaz Ehsan, para pengunjung yang hadir juga berpeluang untuk memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah skuter mini elektrik dan 44 hadiah lain termasuk televisyen dan telefon bimbit.
Pihaknya turut menjangkakan kehadiran pengunjung bukan Islam termasuk pelancong-pelancong asing untuk merasai sendiri kemeriahan karnival.

USTAZ EHSAN (tengah) melakukan gimik pelancaran Karnival Mini Masjid Negara 2025.
Dalam majlis sama, Ustaz Ehsan turut mengiktiraf dan menghargai peranan yang dimainkan pihak media dalam membentuk pemahaman masyarakat terhadap pelbagai isu termasuk isu-isu agama dan sosial.
“Kami amat menghargai setiap laporan, liputan dan penulisan beretika, telus dan membina.
“Media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi juga membentuk persepsi dan dalam konteks institusi masjid, persepsi itu sangat penting untuk ditangani dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.
Pihaknya turut menerangkan kepada media mengenai fungsi Masjid Negara iaitu menjadi pusat ibadah utama bagi umat Islam dan menyediakan ruang solat serta aktiviti keagamaan seperti kuliah, ceramah dan kelas-kelas kepada orang awam pelbagai peringkat umur selain kelas kepada orang kurang upaya masalah pendengaran dan mualaf.

SEBAHAGIAN petugas media termasuk kakitangan Masjid Negara yang hadir pada majlis pelancaran karnival.
Selain itu, Masjid Negara turut berfungsi menjalankan program dakwah, pusat komuniti untuk aktiviti sosial dan kebajikan umat Islam serta menyokong usaha pelancongan dan warisan budaya melalui aktiviti lawatan serta program khas.