Kasih tanpa zuriat

Kasih tanpa zuriat


Kuala Lumpur: Hingar-bingar suasana pameran tidak mengganggu mereka dengan ada yang tenang ‘bertenggek’ di atas beg galas, ‘berlingkar’ di bahu si pemilik kalaupun tidak nyenyak dalam pelukan atau kereta sorong, ketika dibawa berjalan-jalan meninjau Ekspo Kucing 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Berlangsung pada Oktober lalu, kelibat ‘anak bulus’ – panggilan kebanyakan pemilik terhadap kucing kesayangan – dilihat malah mengatasi bilangan kanak-kanak yang datang ke ekspo bersama ibu bapa masing-masing.

Di Malaysia, memiliki haiwan kesayangan menjadi trend popular apabila jumlah pemilikan kian meningkat.

Di laman sesawang, penganjur Ekspo Kucing 2025 melaporkan peningkatan bilangan pempamer dan peniaga di ekspo itu seiring pertambahan pengunjung.

Menurut Kadence International, sebuah syarikat penyelidikan pasaran, rakyat Malaysia membelanjakan US$500 (RM2,039.50) setahun untuk haiwan kesayangan, sementara Laporan Pengguna Malaysia 2023 oleh Standard Insights menyatakan kucing merangkumi hampir 80 peratus daripada keseluruhan belaan kesayangan di negara ini.

Bagi Sumitha Shaanthini Kishna, ‘ibu’ kepada dua anjing dan seekor kucing, dapatan itu mencerminkan situasi hari ini.

“Apabila kadar kelahiran menurun, pemilikan haiwan kesayangan meningkat. Saya sebahagian daripada trend itu,” kata peguam hak asasi manusia berusia 51 tahun terbabit sambil ketawa.

Sepertimana situasi semasa di seluruh dunia, jumlah kelahiran di Malaysia mengalami penurunan dengan hanya 1.4 bayi dilahirkan oleh wanita berusia bawah 20 tahun dalam tempoh suku pertama 2025, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Negara ini juga berada di persimpangan – populasi kian menua sedangkan kadar kesuburan merosot, mencerminkan peningkatan kemakmuran Malaysia.

Semua ciri itu menepati kes Sumitha. Selain menguruskan anak bulus, dia juga menjaga ibu saudara yang menghidap demensia. Justeru, memiliki anak bersama pasangannya Kuganeson ‘Neson’ Poologasingam, 53, dilihat ‘menambah beban’.

Ada yang menganggap golongan ini sengaja membela haiwan daripada memiliki anak, namun tanggapan itu mungkin kurang tepat, kerana kajian menunjukkan peliharaan kesayangan mengisi ‘kekosongan’ (kerana ketiadaan anak) bukan memacu kemerosotan kadar kesuburan. Penyelidikan terbaharu turut mendapati haiwan kesayangan berpotensi membantu memperkukuh ikatan perkahwinan dan keluarga.

“Dalam beberapa penjelasan popular, peningkatan haiwan peneman menarik perhatian umum, sering digambarkan sama ada sebagai pengganti anak atau pelengkap dalam pembentukan keluarga,” ulas penulis kertas penyelidikan bertajuk Cats, Dogs and Babies: Quasi-Experimental Evidence on Substitutes or Complements daripada kajian Linked Administrative Records [https://papers.ssrn.com/sol3/papers.cfm?abstract_id=56], yang diterbitkan pada Oktober 2025.

Mereka berhujah pandangan konvensional itu mungkin tidak betul, setidak-tidaknya di Taiwan dengan kadar kelahiran antara terendah di dunia.

Berdasarkan analisis pendaftaran jutaan haiwan dan kelahiran di Taiwan, mereka mendapati pasangan yang memelihara haiwan, terutama anjing, lebih cenderung meiliki anak berbanding pasangan yang tiada belaan kesayangan.

Penyelidik sebaliknya mendapati haiwan kesayangan selalu hadir mendahului anak dan berfungsi sebagai ‘keluarga pemula’

Penyelidik menyimpulkan pemilikan haiwan kesayangan sebagai satu ‘latihan berisiko rendah’ buat pasangan yang merancang mendapat zuriat, iaitu menguji kemampuan menjaga, tanggungjawab dan pengorbanan sebelum benar-benar memiliki anak.

Selain anjing yang perlukan permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan, pemeliharaan haiwan seperti kucing dan lain-lain di Malaysia tidak perlu didaftarkan. Justeru sukar untuk menentukan sama ada situasi di Taiwan itu terpakai di negara ini.

Dapatan kajian itu diperakui Sharifah Adrinni yang bekerja dalam industri minyak dan gas, serta tunangnya Afieq Danial, yang menganggap kucing sebagai ahli keluarga yang membawa kegembiraan dan menuntut pengorbanan.

Pasangan ini membela lima kucing yang tinggal bersama Sharifah di pangsapurinya.

Mereka baru sahaja kehilangan seekor daripadanya – Bresco yang berusia enam tahun. Kucing itu mati selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital veterinar di Ampang, Selangor. Bagi menampung kos rawatan Bresco, mereka menggunakan sebahagian daripada wang simpanan perkahwinan.

Berkongsi kisahnya, Sharifah berkata ibu bapanya menganggap dia ‘kurang waras’ kerana sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk seekor kucing. Namun bagi pasangan itu, perkara tersebut bukan sesuatu yang perlu mereka pertimbangkan.

“Ia ‘anak sulung’ kami. Ia segala-galanya bagi saya,” katanya dengan mata yang berkaca-kaca

Afieq bersetuju, dan menyatakan kucing itu adalah ‘ahli keluarga dan bukan beban’.

Sharifah berkata, memelihara kucing bersama tunangnya juga sebagai persediaan mereka melayari bahtera perkahwinan. Menurutnya, kesukaran itu juga memberi mereka peluang melihat komitmen masing-masing dalam menjalani kehidupan berumah tangga kelak.

Kajian di Taiwan itu turut mendapati haiwan kesayangan memainkan peranan penting sebagai sokongan emosi dan sosial bagi seseorang yang beralih ke rutin baharu selepas mengharungi perubahan besar dalam kehidupan seperti perceraian atau kematian pasangan atau anak.

Kajian sebelum ini menemukan faedah dalam pemilikan haiwan kesayangan termasuk mengurangkan tahap tekanan si pemilik dan meningkatkan paras hormon ‘gembira’ seperti oksitosin dan serotonin, merendahkan tekanan darah dan degupan jantung, mengurangkan kemurungan, kerisauan melampau dan kesepian.

Dalam kes Sumitha dan Neson, haiwan kesayangan mereka – Casper dan Bleu (anjing) serta Kitty si kucing – adalah ‘anak’ mereka dan mereka tiada rancangan menambah anak versi manusia.

“Saya hilang minat memiliki anak ketika berumur 30-an. Saya merancang untuk tiada anak walaupun seorang,” katanya.

Sumitha tidak melihat keputusannya itu sebagai ‘mementingkan diri’, sebaliknya berpendapat langkah tersebut sebagai keputusan bermoral kerana, menurutnya, anak memerlukan komitmen masa dan kewangan yang tidak mampu mereka penuhi.

“Saya juga tidak bersedia menanggung tanggungjawab tersebut… ada banyak pengaruh lain juga (seperti) media sosial, sekolah, kawan sebaya dan lain-lain yang seumpama (yang mendorong keputusan itu),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top