redzuan.muharam@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: “Saya ikut kerana nak tunaikan impiannya dan sebagai sahabat, seronok tengok dia gembira selepas sekian lama berjuang melawan kanser.”
Demikian menurut Turisman Andi Basri, 46, yang menemani sahabatnya, Masroni Aruna, 46, iaitu pesakit barah hidung tahap tiga ke Hat Yai, Thailand secara konvoi motosikal dengan jarak lebih 550 kilometer (km).
Video mengenai mereka tular di media sosial dan menerima lebih 500,000 tontonan, manakala tinjauan di ruangan komen menunjukkan rata-rata warganet terharu dengan kesungguhan Turisman memenuhi hajat Masroni.
Bercerita lanjut, Turisman berkata, dia dan Masroni ke Hat Yai, Thailand pada 6 Mei lalu dan sempat menginap di hotel untuk satu malam sebelum pulang keesokan harinya.
Walaupun perjalanan singkat, Turisman memaklumkan seronok dapat meluangkan masa bersama Masroni kerana bukan selalu ada kesempatan begitu.
“Kami pergi berdua saja dan syukur kerana selamat pergi dan balik… cuaca pun baik, tak hujan.
“Sampai di sana, kami makan dan jalan-jalan sambil ambil gambar bersama sebelum pulang.
“Seronok tengok Masroni gembira sepanjang ‘trip’ kerana sudah lama dia tidak menunggang motosikal dengan jarak jauh disebabkan penyakitnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Turisman mengakui sedih apabila mula-mula mendapat tahu mengenai penyakit dihidapi Masroni, apatah lagi rakan baiknya itu perlu menjalan pelbagai rawatan intensif.
“Banyak masa dihabiskannya untuk menjalani rawatan dan saya pernah katakan kepadanya sebelum ini untuk ‘ride’ bersama kalau dia sihat.
“Sekarang dia sudah okay sedikit, jadi dapatlah saya teman kerana dia pun sudah lama teringin (menunggang motosikal),” katanya.
Sementara itu, Masroni bersyukur akhirnya dapat melepaskan gian menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115Z ke Hat Yai selepas empat tahun menderita barah.
Dia yang menetap di Bandar Sultan Sulaiman di sini berkata, ‘trip’ itu juga lebih bermakna kerana ditemani Turisman yang sudah menjadi sahabatnya sejak di bangku sekolah lagi.
“Saya sudah selesai menjalani semua rawatan dan sekarang ini dalam tempoh pemulihan.
“Sebenarnya, ada juga pergi ‘ride’ sebelum ini tapi jarak dekat saja dan syukur dapat jalan jauh sedikit sampai ke Thailand. Memang puas walaupun sekejap kerana jiwa penunggang motosikal ini lain kalau tak dapat tunggang,” katanya.
Dia juga menasihati orang ramai yang senasib dengannya agar tidak hanyut dalam kesedihan sebaliknya cuba menggembirakan diri sendiri dan melakukan aktiviti kegemaran.
“Jangan terlalu fikir mengenai sakit, gembirakan diri dan penting untuk ada orang sekeliling, terutama ahli keluarga yang memberi sokongan,” katanya yang berdoa agar sembuh sepenuhnya dan berharap persahabatannya dengan Turisman berkekalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd