Kastam Kelantan rampas 2.6 juta batang rokok seludup

Kastam Kelantan rampas 2.6 juta batang rokok seludup


KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 2.6 juta batang rokok dengan nilai cukai berjumlah RM1.7 juta dalam serbuan di daerah Tumpat  pada Rabu lepas.

Pengarah berkenaan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu termasuk 900,000 batang rokok pemanas dianggarkan bernilai RM270,000.

Beliau berkata, rokok pemanas dari Eropah tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Berdasarkan maklumat katanya, rokok itu berkemungkinan dijual dengan harga RM8 bagi sekotak 20 batang berbanding RM14 pada harga pasaran.

“Penyeludup membawa barangan melalui Sungai Golok dan menyembunyikannya di suatu tempat sebelum diedarkan ke pasaran,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top