Kastam rampas dadah RM1.5 juta disembunyikan dalam Estima

Kastam rampas dadah RM1.5 juta disembunyikan dalam Estima


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.5 juta yang disimpan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di Balakong, Selangor pada 15 Oktober lalu.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, selepas mendapat maklumat daripada orang awam, anggota membuat intipan sebelum menemui kenderaan mencurigakan yang di parkir berdekatan sebuah kondominium.

Menurutnya, selepas didapati tiada sebarang pergerakan sepanjang lapan jam pemerhatian, anggota kastam kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum menemui pelbagai jenis dadah seperti pil kuda, Eramin 5 dan ekstasi.

“Dadah terbabit disembunyikan dalam sebuah beg pakaian dan tong lut sinar dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Selain itu, mereka menggunakan modus operandi menyimpan dadah di dalam kenderaan tidak berkastam dan diletakkan di tempat parkir untuk tempoh yang lama supaya tidak dikesan pihak berkuasa.

“Dalam operasi sama, JKDM Kelantan turut merampas dua lagi kenderaan tidak berkastam jenis Porsche Panamera serta Nissan Teana selain motosikal Honda CB400,” katanya ketika sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, kes kenderaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka yang didapati terbabit dengan kes dadah boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

“Dalam perkembangan sama, JKDM Kelantan berjaya menumpaskan 29 kes penyalahgunaan dadah dengan nilai rampasan lebih RM22.8 juta sepanjang Januari sehingga Oktober tahun ini.

“JKDM menyeru orang awam untuk memberikan kerjasama dan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-8855 atau ke pejabat JKDM terdekat di seluruh negara,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top