firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sentuhan ‘Samurai’ menjadi pilihan Selangor FC apabila kelab gergasi tempatan itu mengumumkan pelantikan jurulatih baharu, Katsuhito Kinoshi untuk membimbing pasukan itu.
Red Giants yang dikejutkan dengan peletakkan jawatan Nidzam Jamil pada bulan lalu menyaksikan penolong jurulatih, Abdi Hassan mengambil alih secara interim.
Dengan pelantikan itu, maka Kinoshi bakal memulakan tugas pertamanya selaku pengendali menentang Muangthong United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia II (ACLE II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Khamis ini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Selangor FC, Kinoshi memiliki pengalaman yang luas sebagai jurulatih.
Kepakaran beliau dalam membangunkan pasukan, strategi serta pembangunan pemain muda pasti akan menjadi aset besar kepada pasukan dalam usaha mencapai kejayaan.
Tugas terakhir Kinoshi adalah sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Serbia di mana skuad itu berjaya muncul juara Kumpulan 4 UEFA Nations League B 2022/23 selepas menumbangkan Sweden.
Ia sekali gus menyaksikan skuad The Eagles dinaikkan pangkat untuk kini bertanding di saingan UEFA Nations League A bersama Sepanyol, Denmark dan Switzerland.
Antara kejayaan lain adalah membantu Serbia layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar menentang Brazil, Switzerland dan Cameroon.
© New Straits Times Press (M) Bhd