TIDAK salah mencuba makanan enak yang tular di media sosial, namun dalam Islam, setiap pilihan perlu ditapis dengan panduan syariat, bukan mengikut trend.
Ini kerana setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh akan membentuk darah daging dan jika ia bersumberkan perkara haram, kesannya bukan hanya di dunia, tetapi juga di akhirat.
Pensyarah Jabatan Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurhafizah Harun menjelaskan, kawalan selera perlu dididik supaya seiring dengan konsep halalan toyyiban iaitu halal dari segi syarak dan baik dari aspek kebersihan, keselamatan serta manfaatnya.
USTAZAH NURHAFIZAH
“Antara kaedah mudah yang boleh diamalkan adalah menyemak logo halal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), meneliti ramuan atau bertanya terus kepada pengusaha.
“Meskipun pensijilan halal di Malaysia bersifat sukarela, namun ada peniaga yang menggunakan istilah ‘halal homemade’ atau hanya menyatakan ‘bahan halal’ tanpa sijil sah.
“Situasi ini boleh mengelirukan. Justeru, pengguna perlu membezakan antara dakwaan dengan pengesahan rasmi melalui logo halal Jakim,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Sekiranya timbul keraguan, ahli akademik itu menjelaskan, lebih baik makanan tersebut ditinggalkan sebagaimana pesan Rasulullah SAW.
Tiada istilah ‘sekali-sekala’ cuba
Mengulas sikap masyarakat yang beralasan ‘sekali-sekala’ untuk mencuba makanan tular, beliau menegaskan, tidak wujud istilah sebegitu dalam soal halal dan haram.
Jelas beliau, Islam menuntut umatnya agar menjauhi perkara haram sama ada secara kerap atau jarang kerana ia ibarat racun.
“Walaupun hanya seteguk, tetap memberi kesan buruk. Begitulah juga dengan makanan haram. Walaupun sedikit, tetap memberi kesan kepada jiwa, doa dan keberkatan hidup.

DALAM konteks pemakanan halal dan toyyib, seorang Muslim harus menjadikan Maqasid Syariah dan natijah ketakwaan sebagai petunjuk utama. -Foto: CANVA
“Meskipun hanya sekali, ia tetap mengundang akibat di akhirat lebih-lebih lagi jika ia dilakukan dengan sengaja, sedangkan pilihan makanan halal banyak tersedia,” tegasnya sambil mengingatkan bahawa alasan ‘sekali-sekala’ itu membuka ruang kepada kelalaian dan memudahkan syaitan memperdaya manusia.
Jelas Ustazah Nurhafizah, Islam tidak melarang umatnya menikmati makanan sedap kerana ia sebahagian daripada nikmat ALLAH SWT dengan syarat mestilah halal dan baik.
“Dalam konteks makanan tular, kesimbangan ini dicapai dengan memastikan setiap ramuan jelas statusnya, bebas syubhah dan disediakan secara bersih,” katanya.
Makan jadi ibadah
Pandangan itu turut disokong oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Industri Halal, ACIS, UiTM Shah Alam, Selangor, Dr Nurzahidah Jaapar.

DR NURZAHIDAH
Menurut beliau, keutamaan seorang Muslim adalah menjaga keberkatan dalam hidup.
Normalisasi mencuba hanya kerana ‘asal sedap dan tular’ akan melemahkan sensitiviti syariah dan mengundang kesan lain kepada kehidupan.
Ujarnya, pemakanan tidak boleh dilihat sekadar memenuhi perut, sebaliknya memberi kesan luas terhadap rohani, akhlak, integriti syariah dan kesihatan.
“Dari sudut rohani, makanan mempengaruhi ketenangan hati dan doa.
“Dari aspek kesihatan, banyak makanan tular tinggi gula, garam dan lemak. Jika diamalkan tanpa kawalan, ia memudaratkan kesihatan dan menyimpang daripada roh halalan toyyiban,” jelasnya.
Justeru, Dr Nurzahidah menyarankan agar umat Islam menukar cara fikir daripada sekadar ‘makan untuk kenyang’ kepada ‘makan sebagai ibadah’.
Bagi tujuan itu, katanya, ia memerlukan kefahaman jelas dan menetapkan manfaat yang tepat.
Dalam konteks pemakanan halal dan toyyib, seorang Muslim harus menjadikan Maqasid Syariah dan natijah ketakwaan sebagai petunjuk utama.
“Selain itu, seorang Muslim perlu menyemai akhlak yang baik sebagai benteng daripada menjadikan makanan sebagai pemuas nafsu, sebaliknya ‘vitamin’ keperibadian.

NORMALISASI mencuba makanan hanya kerana ‘asal sedap dan tular’ akan melemahkan sensitiviti syariah dan mengundang kesan lain kepada kehidupan. -Foto: CANVA
“Antaranya mencari pendapatan halal, menyediakan makanan baik, memulakan dengan doa dan niat ibadah, bersederhana serta berhenti sebelum kenyang,” katanya.
ANEKDOT
Tip elak terjerat dengan selera bertentangan syariat
– Fahami konsep halalan toyyiban iaitu merangkumi aspek kebersihan, kualiti dan keselamatan makanan.
– Semak status halal rasmi sebelum membeli dengan menggunakan direktori Halal Malaysia seperti portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri.
– Kenal pasti bahan berisiko dengan menjadikan piawaian MS 1500:2019 sebagai rujukan utama.

SEMAK label terlebih dahulu sebelum memberi suatu produk atau makanan. -Foto: CANVA
– Nilai proses penyediaan dan kebersihan serta pastikan tiada pencemaran silang berlaku.
– Berhenti 24 jam sebelum ‘ikut tular’ dengan memberi masa untuk menyemak status halal dan komentar berkaitan kebersihan serta mengelak keputusan impulsif yang menormalisasi syubhah.
– Kawal pengambilan gula dan saiz hidangan mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia demi kesihatan.
– Pilih pengusaha berintegriti dan mempamerkan bukti pensijilan halal yang sah. Laporkan sebarang penipuan logo halal.
– Didik keluarga dengan membiasakan anak-anak untuk menyemak logo halal sebelum membeli.
Sumber: Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Industri Halal, ACIS, UiTM Shah Alam, Selangor, Dr Nurzahidah Jaapar




