‘Kawan-kawan tahu niat baik saya’ – Shahidan Kassim

‘Kawan-kawan tahu niat baik saya’ – Shahidan Kassim


Shahidan Kassim yakin terima sokongan terus terajui Olahraga Malaysia. Foto Bernama.

PRESIDEN Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim, meluahkan keyakinan untuk terus menerima sokongan dalam usaha mempertahankan jawatannya pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan itu esok.

Menurut Shahidan, beliau percaya keikhlasan dan usaha yang ditunjukkannya selama ini akan dinilai oleh rakan-rakan dalam MA.

“Saya percaya kawan-kawan tahu niat dan usaha baik saya. Mereka akan beri sokongan. Tapi kalau mereka nak beri sokongan kepada calon lain pun, itu hak mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa pendekatan kepimpinan terbukanya akan terus dikekalkan, tanpa sebarang janji manis.

“Saya tidak suka menabur janji. Seperti sebelum ini, saya beri kebebasan penuh kepada semua jawatankuasa untuk bertindak.

“Tapi kalau ada kesilapan, jangan hanya meletakkan beban kepada presiden. Segalanya adalah keputusan bersama.

“Kalau ada isu yang timbul, setiap pihak perlu ambil tanggungjawab. Saya tidak lari daripada tanggungjawab, tetapi bila kuasa telah diberi, maka gunakannya sebaik mungkin,” tegas beliau.

Shahidan kini berdepan saingan empat penjuru untuk jawatan presiden MA, yang turut ditandingi Timbalan Presiden sedia ada, Datuk Mark William Ling Lee Meng; Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim; serta Presiden Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Pemilihan kali ini dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah badan induk olahraga negara itu.



Source link

OR

Scroll to Top