Kawasan perkampungan di Golok sunyi, penduduk masih takut

Kawasan perkampungan di Golok sunyi, penduduk masih takut



am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Suasana di beberapa perkampungan di Sungai Golok, Thailand masih sunyi kerana penduduk tidak berani keluar rumah susulan insiden letupan bom dan tembakan malam kelmarin.

Seorang warga Thailand, Atieyarah Mamat, 25, berkata rata-rata penduduk takut untuk keluar rumah bimbang kejadian berulang.

“Saya sendiri terus ke pintu sempadan ke Rantau Panjang tanpa singgah di mana-mana,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Atieyarah berkata, insiden itu meninggalkan kesan yang menakutkan menyebabkan penduduk mengambil keputusan tidak keluar rumah.

Katanya, dia terkejut melihat pintu sempadan yang sunyi dan lengang malah dia tidak perlu beratur seperti kebiasaannya selain urusan cop serta semakan pas sempadan juga dilakukan dalam masa beberapa minit sahaja.

“Saya tinggal di Kampung Khawat, Jalan Sungai Padi yang berjarak lebih 15 kilometer (km) dari Sungai Golok dan penempatan kami agak sunyi sejak kejadian itu. Tambahan pula, kami menerima khabar angin bahawa keadaan masih belum selamat sepenuhnya.

“Sebenarnya, saya sepatutnya ke Rantau Panjang semalam, tetapi penduduk kampung memaklumkan bahawa ada pihak yang menemui plastik hitam dipercayai mengandungi bom yang masih aktif di jalan sekitar kampung kami.

“Jadi demi keselamatan diri, saya tangguh dulu untuk datang ke Kota Bharu dan memaklumkan keadaan sebenar kepada majikan,” katanya yang bekerja di kedai makan di Kota Bharu.

Atieyarah berkata, kampung turut kedengaran beberapa ledakan bom dalam kejadian malam kelmarin.

“Sebenarnya situasi tegang berlaku dalam tempoh yang lama bermula jam 8 malam sehingga 3 pagi menyebabkan kami tidak dapat tidur lena pada malam itu. Tambahan pula terdapat beberapa lagi lokasi yang disyaki mempunyai bom bukan hanya di pekan Golok sahaja.

“Penduduk kampung berjaga-jaga kerana ada khabar angin akan ada serangan bom, justeru penduduk berhati-hati terutama pada waktu malam.

“Suasana bertukar sunyi setiap kali ada serangan bom terutama di kawasan perkampungan, ia berbeza dengan pekan Sungai Golok,” katanya.

Jelasnya, biasanya keadaan akan kembali normal namun mengambil sedikit masa untuk memastikan bahawa kawasan benar-benar selamat.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top