Sepang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menggandakan usaha menghantar atlet pelapis ke kejohanan antarabangsa dengan harapan mereka akan mendapat pendedahan dan pengalaman yang sangat diperlukan, kata Menterinya, Hannah Yeoh.
Oleh itu, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai cara meningkatkan pembiayaan bagi sukan dan menggalakkan sektor korporat melabur dalam bidang tersebut.
Menurutnya, ada sebilangan atlet terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri untuk bertanding dalam kejohanan di luar negara semata-mata untuk mendapatkan pendedahan supaya mampu bersaing dengan lebih baik ketika menggalas cabaran negara di persada antarabangsa
Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan skuad tenpin boling negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini selepas mencipta kemenangan bersejarah pada Kejohanan Asia ke-27 (ATBC) di Bangkok, Thailand.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada skuad negara atas kemenangan bergaya di ATBC dengan membawa pulang lapan pingat emas, lima perak dan empat gangsa pada kejohanan tersebut.
Hannah berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) memperuntukkan sejumlah RM457,700 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada para atlet yang berjaya.
Beliau berkata, setiap atlet akan menerima jumlah yang berbeza dengan penerima terbesar ialah Muhammad Rafiq Ismail, diikuti oleh Si Li Jane yang masing-masing berjaya meraih empat dan tiga pingat emas.
© New Straits Times Press (M) Bhd