KBS intai kerjasama pembangunan sukan di Nantong

KBS intai kerjasama pembangunan sukan di Nantong


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan jalinan kerjasama pembangunan sukan dengan bandar Nantong di China yang melahirkan ramai jaguh dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkara itu telah diusulkan dalam pertemuan bersama Timbalan Datuk Bandar Kerajaan Rakyat Perbandaran Nantong, Yu Lizhong antaranya termasuk mengadakan kem latihan atlet selain memiliki jurulatih dari sini.

“Kem latihan diperlukan dalam sukan, jadi Nantong adalah antara destinasi yang kita lihat.

“Mengenai jurulatih, pada masa ini kita mempunyai jurulatih dari China bagi sukan terjun, renang dan wusyu, jadi adalah lebih baik sekiranya kita dapat (penuhi) bidang yang memerlukan jurulatih. Kita mungkin tidak tahu konsepnya, tetapi jika dapat merujuk kepada sumber dan kepakaran di sini, kita akan pertimbangkan,” katanya dalam pertemuan itu.

Beliau dalam masa sama mahu jalinan kerjasama bersama Nantong yang sinonim sebagai bandar sukan itu diperluas ke arah memperkasakan sukan dalam kalangan wanita.

Hannah mengadakan lawatan ke Nantong bagi menyaksikan penganjuran Kejohanan Wusyu ASEAN-China.

Sebanyak 1,500 peserta dari 10 negara ASEAN menyertai kejohanan berkenaan yang berlangsung hari ini hingga Rabu depan dengan Malaysia menghantar sejumlah 13 atlet.

Kejohanan itu diadakan bertujuan memperkukuh lagi diplomasi sukan negara ASEAN terlibat selain memberi pendedahan kepada atlet wusyu mempamerkan kemahiran dan menimba pengalaman. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top