KBS salur lebih RM492,000 untuk pembangunan sukan wushu

KBS salur lebih RM492,000 untuk pembangunan sukan wushu



sukan@hmetro.com.my

Seremban: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) memperuntukkan sebanyak RM492,460 untuk pembangunan sukan wushu, tahun ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peruntukan ini dilaksanakan melalui program bakat dan pelapis.

“Ini termasuklah geran bantuan kepada 14 Majlis Sukan Negeri, elaun untuk jurulatih serta sokongan untuk pertandingan dan pengelolaan kejohanan dalam negeri.

“Selain itu, KBS turut meluluskan bantuan penganjuran kejohanan sukan wushu di seluruh negara melalui Geran Padanan Sukan (RM300,000) dan Dana Sukan Komuniti (RM59,000).

“Sebanyak RM214,000 pula diperuntukkan bagi penganjuran lima kejohanan serta RM180,000 untuk program pencarian bakat sukan wushu,” katanya berucap pada Majlis Pengurniaan Sjil Pencapaian Kepada Ahli-Ahli Pasukan Wushu Negeri Sembilan di Dewan NS Chin Woo, di sini, lewat petang ini.

Majlis disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor; Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Fong Wan Hor dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt.

Hannah berkata, KBS merasa bangga kerana peruntukan dan bantuan ini membuahkan hasil dengan pencapaian atlet negara yang memberangsangkan di pentas antarabangsa.

“Apa yang menarik, kini sukan wushu bukan sahaja disertai oleh masyarakat Cina malah boleh dijuarai oleh atlet Melayu.

“Ini membuktikan bahawa sukan medium perpaduan dan kesefahaman antara rakyat Malaysia,” katanya.

Ketika ditemui media kemudiannya, Hannah berkata, wushu antara persatuan paling aktif dalam mencari bakat baharu dan sewajarnya dicontohi oleh persatuan sukan yang lain.

Beliau mahu lebih ramai bekas atlet berada dalam persatuan sukan kebangsaan supaya kepakaran dan pengalaman dimiliki dapat membantu atlet muda mencapai tahap prestasi terbaik.

“Untuk bekas atlet yang mahu terbabit dalam pengurusan persatuan sukan, saya mengalu-alukan dan telah minta Datuk Shalin Zulkifli (Pegawai Eksekutif MSN) supaya menganjurkan lebih banyak kursus pentadbiran sukan.

“Ini (bekas atlet) patut ada dalam persatuan sukan kerana mereka lebih tahu apa keperluan atlet,” katanya.

Untuk rekod, wushu menyumbang dua pingat emas, dua perak dan enam gangsa pada Sukan Sea Kemboja 2023, Kejohanan Wushu Dunia ke-16 2023 ((1 emas 6 perak 4 gangsa), Kejohanan Jemputan Antarabangsa (1 emas 1 perak), Kejohanan Taijiquan Dunia ke-4 2024 (3 emas 2 perak 3 gangsa), Kejohanan Wushu Asia ke-10 2024 (3 emas 4 perak 3 gangsa) dan Kejohanan Wushu Remaja Dunia ke-9 2024 (9 emas 11 perak 5 gangsa).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top