KBS salur RM1 juta perkasa sukan badan beruniform

KBS salur RM1 juta perkasa sukan badan beruniform


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memperkasa pembangunan sukan negara dengan peruntukan berjumlah RM1 juta melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi mengenal pasti dan memupuk bakat atlet-atlet dalam kalangan anggota badan beruniform negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memperakui komitmen itu ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program badan beruniform di Bukit Jalil pada Isnin.

Ia dihadiri pegawai-pegawai tertinggi dan pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, badan beruniform telah memainkan peranan sejak sekian lama sebagai pembekal atlet yang berjaya memenangi pingat untuk kontinjen Malaysia dalam pelbagai temasya sukan antarabangsa.

“Antara sukan yang ditunjangi badan beruniform adalah seperti memanah dan menembak yang menyaksikan pembabitan ramai atlet bertaraf dunia daripada ATM dan PDRM.

“Atlet-atlet daripada ATM, PDRM, JPBM dan JPM juga aktif dalam beberapa sukan lain di peringkat kebangsaan seperti lawn bowl, sepak takraw, berbasikal, hoki serta sukan tinju,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Antara pencapaian cemerlang yang diraih atlet-atlet daripada badan beruniform ialah Saritha Cham Nong dari ATM yang merangkul pingat emas acara berpasukan compound wanita pada Kejohanan Memanah Piala Asia, Singapura.

Erma Firyana Saroji dari PDRM pula menggondol pingat emas Sukan Komanwel 2018 dan gangsa Kejohanan Dunia Lawn Bowls Indoor 2025, Scotland.

Dua lagi atlet iaitu Mohd Shaharil Aiman Halim (PDRM) dan Mohd Afifudin Mohd Razali (ATM) pula merangkul pingat perak acara regu berpasukan pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2024 di Kuala Lumpur.

Mohd Affifudin juga menang pingat emas acara quadrant di Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025.

Hannah berkata, KBS turut menyokong usaha JPM yang memberi fokus kepada sukan petanque dan JBPM dalam sukan pingpong.

“Ia bagi menepati matlamat memperluaskan usaha pembangunan bakat yang melibatkan anggota beruniform sebagai barisan pelapis dan bakal menjadi penyumbang utama kepada kejayaan sukan negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hannah menjelaskan bahawa mesyuarat turut membincangkan beberapa cadangan baharu yang akan terus diperhalusi.

“Ia melibatkan pertimbangan kepada sukan baharu iaitu akuatik – ‘open water’, pingpong dan sukan mendaki membabitkan badan beruniform.

“Kajian penyertaan semula kontinjen badan beruniform dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan cadangan pelantikan atlet paralimpik ke dalam pentadbiran badan beruniform selaras dengan dasar satu peratus penjawatan OKU di dalam perkhidmatan awam,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top