KBS tidak akan terbabit dalam tadbir urus FAM

KBS tidak akan terbabit dalam tadbir urus FAM


zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam tadbir urus Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana sebarang campur tangan kerajaan berpotensi meningkatkan risiko tindakan dan implikasi terhadap negara.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata FAM adalah badan induk yang bertanggungjawab ke atas tadbir urus dan pengurusan bola sepak negara, termasuk pengawalseliaan liga tempatan serta tertakluk kepada Statut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menetapkan prinsip kebebasan persatuan, integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran bola sepak.

Katanya, KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) sentiasa berusaha menggalakkan amalan tadbir urus yang baik dilaksanakan dalam semua badan sukan, termasuk FAM melalui pematuhan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

“Bagaimanapun, pendirian KBS berpandukan prinsip autonomi sukan antarabangsa.

“Selaras dengan Artikel 5 Piagam Olimpik yang menegaskan hak dan kewajipan autonomi organisasi sukan, badan sukan hendaklah beroperasi secara bebas tanpa sebarang campur tangan kerajaan khususnya dari sudut aspek tadbir urus, struktur organisasi serta pemilihan kepemimpinan.

“Prinsip ini adalah selari dengan Statut 15(c) FIFA yang menetapkan bahawa persatuan sukan mesti bebas daripada sebarang campur tangan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai bagaimana kementerian memastikan tadbir urus FAM dan liga tempatan benar-benar telus, bebas konflik kepentingan dan berakauntabiliti kepada peminat serta pemain.

Dr Mohammed Taufiq berkata, PJS melaksanakan pelbagai inisiatif pengukuhan tadbir urus badan sukan di semua peringkat, antaranya Kursus Pengurusan Organisasi Badan Sukan, Program Pengukuhan Advokasi Governans dan Integriti, Hari Bertemu Pelanggan, Program Wanita Dalam Sukan dan sesi dialog awam bersama badan sukan bagi membudayakan amalan tadbir urus yang telus, berintegriti serta berakauntabiliti.

Ia turut membabitkan sukan bola sepak bagi memastikan perkembangan sukan teras itu tidak terjejas dengan isu dan permasalahan semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top