Azzmi pada sesi latihan pertama KDA FC di Padang MADA. Foto KDA FC
KETUA jurulatih baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azzmi Aziz mengakui tugas membina semula pasukan dari bawah bukan sesuatu yang mudah, namun beliau bersedia memikul cabaran besar itu demi mengembalikan kegemilangan Sang Kenari.
Menurut Azzmi, musim ini menjadi titik permulaan baharu buat KDA FC yang kini bersaing dalam Liga A1 Semi Pro, selepas beberapa musim bergelut dengan prestasi tidak menentu.
“Kita bermula dari bawah, dengan barisan kejurulatihan dan pengurusan baharu yang masih segar.
“Saya anggap ini satu cabaran besar, tapi juga peluang untuk bangkitkan semula nama Kedah,” katanya sesi latihan pertama pasukan Sang Kenari di Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Alor Setar.
Azzmi bukan nama asing dalam arena bola sepak Kedah.
Beliau pernah mencipta sejarah membantu pasukan itu menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia 2018 dan turut mencatat keputusan cemerlang bersama PDRM FC pada 2023 walaupun berdepan kekangan bajet.
“Saya bersyukur diberi peluang kembali bersama Kedah. Banyak kenangan manis sebelum ini, tapi sekarang kita berdepan realiti baharu. Kita perlu bina semula dari asas,” ujarnya.
Tambahnya, fokus utama kini adalah membentuk pasukan yang mantap dengan memberi keutamaan kepada pembangunan pemain muda tempatan.
“Ramai pemain muda kita anak jati Kedah. Mereka ada semangat dan kesungguhan. Saya mahu gilap potensi mereka supaya kita ada pasukan yang kuat untuk masa depan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Azzmi berharap isu sekatan perpindahan pemain atau ‘transfer ban’ dapat diselesaikan segera bagi membolehkan pasukan membawa masuk pemain import yang mampu memperkukuh kekuatan pasukan.
“Kita perlukan pemain import untuk bantu dari segi fizikal dan intensiti permainan kerana 70 peratus kekuatan berada di situ. Kalau isu ini selesai, kita boleh bersaing dengan lebih baik,” jelasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk penyokong agar terus memberikan sokongan kepada pasukan dalam fasa kebangkitan ini.