KDA FC, MMC teruskan perbincangan melalui peguam

KDA FC, MMC teruskan perbincangan melalui peguam


Pasukan Kedah Darul Aman FC. Foto KDA FC. Gambar kecil: Dr Zaki Zamani

DSAT Group menerusia anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC) telah menerima surat daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC berkenaan cadangan untuk mengambil alih kelab tersebut pada petang Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, melalui maklum balas itu, KDA telah meminta pihaknya merujuk kepada peguam kelab bagi meneruskan membincangkan asas dan terma tawaran dengan lebih terperinci.

Menurutnya, MMC telah menerima maklum balas daripada KDA FC selepas mereka menghantar surat cadangan berkenaan pada 3 November lalu.

“KDA FC dan MMC bersetuju untuk menyerahkan kepada pihak peguam masing-masing untuk perbincangan terma-terma perjanjian dan syarat persetujuan di antara kedua-dua belah pihak.

“Diharapkan proses perbincangan di antara peguam kedua-dua belah pihak dipermudahkan bagi mencapai kata sepakat dan persetujuan. Pihak MMC mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KDA FC di atas maklum balas yang diberikan,” katanya pada Jumaat.

Sementara itu, Sang Kenari juga menerusi laman sosial mereka turut mengesahkan telah menghantar maklum balas kepada MMC secara serahan tangan pada jam 4.45 petang pada Khamis.

Pada 3 November lalu, Sinar Harian melaporkan KDA FC akan menjadi kelab pertama mempunyai hospital sendiri sebagai salah satu sumber pendapatan sekiranya DSAT Group Sdn Bhd dapat mengambil alih kelab itu melalui anak syarikatnya, MMC.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, dengan ini KDA FC akan mempunyai saham sebanyak 40 peratus dalam hospital swasta terbabit.

Beliau berkata, banyak lagi syarikat yang akan dimiliki oleh KDA FC sekiranya DSAT Group mengambil alih KDA FC sebagai sumber kewangan kelab supaya tidak berharap kepada tajaan orang semata mata dan bantuan kerajaan negeri.



Source link

OR

Scroll to Top