mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengambil tindakan tegas menamatkan kontrak salah seorang Duta Rasmi kelab, dikenali sebagai CEO Batu, berkuat kuasa serta-merta susulan kontroversi membabitkan individu itu yang kini disiasat polis.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan ringkas di laman Instagram rasmi kelab berkenaan hari ini, susulan isu yang tular di media sosial berkaitan dakwaan gangguan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.
“Pihak KDA FC telah mengambil maklum berkenaan isu membabitkan salah seorang Duta Rasmi KDA FC.
“KDA FC tidak berkompromi dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku dari segi undang-undang. Oleh yang demikian, kontrak CEO Batu ditamatkan serta-merta,” kata kenyataan itu.
CEO Batu, berusia 22 tahun yang juga pempengaruh media sosial terkenal di TikTok, dilaporkan ditahan polis untuk membantu siasatan berkaitan kes menghantar gambar berunsur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.
Tindakan tidak bermoral itu dikatakan dikesan oleh ibu mangsa sebelum ia ditularkan oleh penyanyi dan pempengaruh media sosial, Caprice, di laman Instagram hingga mencetuskan kemarahan netizen.
KDA FC menegaskan mereka komited dalam menjaga nama baik kelab dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang boleh mencemarkan reputasi pasukan.
Setakat ini, kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd